Malang tak berbau dan kemalangan yang tak diduga boleh berlaku bila-bila masa tanpa kita sedar.
Semalam, seorang anggota polis dilaporkan maut selepas tertembak dirinya sendiri ketika bertugas di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor, lapor Astro AWANI.
“Peluru tembus di bahagian kepala kerana…”
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, kejadian yang terjadi sekitar jam 3.55 pagi ini berlaku semasa anggota tersebut sedang bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di kawasan tersebut.
Mangsa yang baru berusia 26 tahun ni dipercayai tertembak diri sendiri pada jarak lebih kurang 50 meter dari sekatan jalan raya yang sedang dilakukan.
“Peluru dipercayai tembus di bahagian kepala kerana terdapat satu kesan luka masuk sebelah kanan atas telinga dan satu kesan luka keluar tembakan di atas telinga kiri,” kata Md Noor.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut”
Pakar perubatan dilaporkan tiba sekitar jam 4.35 pagi dan mengesahkan yang mangsa telah pun meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
“Hasil pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan luka tembakan masuk di sisi kanan menembusi tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya lagi.
Mangsa difahamkan telah berkhidmat dengan PDRM selama 5 tahun dan meninggalkan seorang isteri dan anak.
“Arwah 2 minggu lepas buat aktiviti hiking. Selepas daripada itu, arwah sering meracau-racau…”
Meskipun ramai di kalangan netizen yang mula membuat spekulasi ‘negatif’ terhadap kematian mangsa, ada juga di kalangan netizen yang meminta supaya cerita-cerita seperti ini dihentikan.
Hal ini kerana, kita pun tak sure bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku dan seorang netizen ada memberitahu di bahagian komen yang mangsa sebelum ini pernah berubat cara alternatif gara-gara menghadapi ‘gangguan’ lepas pulang hiking.
Admin walau bagaimanapun tak dapat sahkan kesahihan komen ni dan meminta supaya netizen doakan yang baik-baik jelah buat mangsa dan keluarganya. Semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.
Al-fatihah…