Malaysia bakal diwakili oleh lima figura berpengalaman daripada industri kreatif tempatan yang menggalas tanggungjawab besar sebagai panel juri profesional bagi pentas berprestij, Eurovision Song Contest Asia 2026.
Barisan juri negara kali ini diketuai oleh penerbit muzik dan komposer terkenal, AG Coco yang dilantik selaku Ketua Juri.
Turut membarisi panel penilaian tersebut ialah penerbit muzik dan komposer, Justin Seow; pengurus acara serta promoter konsert berpengalaman, Iman Tang; pengarah iklan dan filem, Bobby Husaini; serta Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir.
Artikel berkaitan: “Memang susah ler Aina” – Video Peserta Filipina Eurovision Asia Peluk Penerbit Israel Cetus Spekulasi Netizen?
Artikel berkaitan: Aina Abdul Bawa Nama Malaysia Ke Eurovision Asia, Ini Semua Korang Perlu Tahu Pasal Pertandingan Ini!

Gabungan kepelbagaian latar belakang profesional ini menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai cabang industri muzik, penyiaran, dan hiburan, sekali gus membentuk sebuah panel berwibawa dengan perspektif berbeza dalam menilai setiap persembahan yang dipertandingkan.
Menerusi sistem pengundian Eurovision Song Contest Asia 2026, setiap negara peserta diwakili oleh lima orang juri profesional di mana undian mereka menyumbang sebanyak 50 peratus kepada keputusan keseluruhan pertandingan, manakala baki 50 peratus lagi ditentukan menerusi undian penonton.
Setiap juri bertanggungjawab menilai keseluruhan persembahan serta aspek artistik setiap penyertaan secara adil, objektif, dan konsisten.
Proses penilaian berkenaan akan dilaksanakan menerusi sesi tontonan bersama bagi persembahan raptai sebelum malam kemuncak, diikuti penghantaran ranking masing-masing oleh setiap juri melalui sistem pengundian dalam talian yang disediakan.
Sebagai Ketua Juri, AG Coco bukan sahaja bertanggungjawab mengemukakan keputusan rasmi undian daripada Malaysia, malah turut bertindak sebagai pemutus seri sekiranya diperlukan.
Malam kemuncak Eurovision Song Contest Asia 2026 yang turut menyaksikan penyertaan wakil negara, Aina Abdul, bakal bersiaran secara langsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9.30 malam menerusi saluran TV3 dan platform penstriman Tonton.
Sumber: Siaran Media TV3
