Peminat muzik tempatan gempar apabila penyanyi berpengaruh dan ratu vokalis Malaysia, Aina Abdul, diumumkan sebagai wakil tunggal negara ke pentas Eurovision Song Contest Asia 2026!
Pengumuman bersejarah itu dibuat menerusi pentas gilang-gemilang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). Selain terpilih ke pentas antarabangsa, Aina turut ‘tapau’ anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu yang bertemakan gunung berapi dramatik serta Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee!
View this post on Instagram
Namun, di sebalik keterujaan melihat fesyen serta vokal mantap Aina bakal bertandang ke Bangkok pada 14 November ini, masih ramai yang tertanya-tanya: Apa benda sebenarnya pertandingan Eurovision ni dan kenapa ia dianggap begitu berprestij?
Artikel berkaitan: “Saya akan terus bekerja keras” – Aina Abdul Sedih Dengan Dakwaan Man Bai, Dikatakan Tak Ada ‘Killer Song
Artikel berkaitan: Ketua Juri AJL Kongsi Lagu ‘Top 5’ Mengapa Aina Abdul Menang Vokal Terbaik
Dari Eksperimen TV Eropah Ke Fenomena Dunia
Bagi korang yang belum tahu, Eurovision Song Contest (ESC) bukanlah pertandingan nyanyian calang-calang. Ia bermula seawal tahun 1956 di Switzerland sebagai satu eksperimen siaran televisyen secara langsung oleh European Broadcasting Union (EBU) untuk menyatukan negara-negara Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Daripada hanya 7 buah negara asal, kini Eurovision telah berkembang menjadi acara tahunan terbesar di dunia yang ditonton ratusan juta penonton merentasi benua. Pentas ini juga menjadi saksi lahirnya nama-nama gergasi muzik dunia seperti kumpulan ABBA dan Celine Dion.
Format Terperinci & Penuh Drama!
Bukan sekadar masuk dan menyanyi, Eurovision terkenal dengan syarat pertandingan yang sangat khusus:
- Lagu Original & Had Masa: Setiap penyanyi wajib mempersembahkan lagu baharu yang belum pernah diriliskan, dengan durasi tidak melebihi 3 minit.
- Persembahan Live: Semua vokal utama mesti dinyanyikan secara live di atas pentas dengan had maksimum 6 orang pereka persembahan/penyanyi pada satu-satu masa.
- Sistem Undian Unik: Pemenang ditentukan menerusi gabungan undian juri profesional dan undian penonton (televoting) dari seluruh dunia.
- Gaya & Visual Luar Biasa: Pentas ini memang terkenal dengan konsep visual, pencahayaan, dan fesyen yang ekstravaganza.
Nama-Nama Gergasi Yang Lahir Dari Eurovision
Sepanjang 70 tahun penganjurannya, pentas Eurovision telah melahirkan deretan nama besar dan lagu legenda yang menduduki carta muzik global. Antara pemenang paling ikonik termasuklah:
ABBA (Sweden – 1974): Kumpulan pop legenda ini menjuarai Eurovision menerusi lagu Waterloo, yang kemudiannya melonjakkan kerjaya mereka ke peringkat antarabangsa.
Celine Dion (Switzerland – 1988): Sebelum menjadi Diva Pop dunia, Celine Dion mewakili Switzerland dan menang nipis menerusi lagu Ne Partez Pas Sans Moi.

Loreen (Sweden – 2012 & 2023): Artis wanita pertama yang memenangi Eurovision sebanyak dua kali menerusi lagu fenomena Euphoria (2012) dan Tattoo (2023).
Måneskin (Itali – 2021): Band rock dari Itali ini menjuarai pertandingan menerusi lagu Zitti E Buoni sebelum lagu-lagu mereka terus meletup di carta Billboard dan TikTok seluruh dunia.

Saingan Sengit Di Pentas Eurovision Asia
Melihat kejayaan format asal di Eropah, edisi sulung Eurovision Asia ini bakal menghimpunkan deretan penyanyi dari seluruh rantau Asia-Pasifik. Antara negara yang turut serta termasuklah Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja, Laos, Bangladesh, Nepal, dan Bhutan.
View this post on Instagram
Pemilihan Aina Abdul dibuat berdasarkan penilaian juri profesional yang melihat kepada kriteria kawalan vokal julat tinggi serta keupayaan membawa konsep persembahan pentas yang besar, sesuai dengan standard dan identiti skala produksi Eurovision.
Sama-sama kita nantikan persembahan Aina Abdul membawa nama Malaysia di pentas berkenaan kelak!
Sumber: Eurovision, Instagram
