Semalam telah berlangsung hari kedua perbicaraan kes Sharifah Faraha yang dituduh memiliki sepucuk pistol dipercayai dibekalkan kepada warga Israel, di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, seorang pegawai polis memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang didakwa memiliki sepucuk pistol, telah meminta beliau tidak memberitahu suaminya mengenai perkara itu kerana senjata api tersebut sepatutnya diserahkan kepada pembeli.
Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail yang merupakan pegawai tangkapan bagi kes berkata, sebelum itu, beliau bersama seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan lapan anggota lain daripada Bahagian Siasatan Khas JSJ Bukit Aman, telah bergerak ke sebuah kawasan bazar Ramadan di Kuala Selangor untuk melakukan tangkapan terhadap suami Sharifah Faraha Syed Husin, 42, pada 6 petang.
Beliau berkata, setelah tangkapan dibuat, mereka kemudian dipandu arah oleh suami tertuduh bergerak ke sebuah rumah di daerah sama untuk pemeriksaan lanjut dilakukan dengan Sharifah Faraha turut mengikuti di belakang menaiki kereta Honda Jazz milik pasangan itu dan ditemani anggota bertugas.
Pemeriksaan dilakukan selepas semua yang beragama Islam berbuka puasa. Ketika pemeriksaan dijalankan, kereta itu berkunci dan Sharifah menyerahkan kunci sebelum pemeriksaan dijalankan oleh saya dan juga anggota lain dengan diperhatikan Sharifah.
”Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian but belakang kenderaan itu telah menemukan sebuah beg sederhana besar berwarna hitam dalam keadaan tertutup.
“Zip telah dibuka oleh Sharifah sendiri dan di dalamnya terdapat sepucuk pistol disyaki senjata api dengan sarung pistol dan ada juga beberapa pakaian yang saya tidak pasti pakaian apa.
“Sharifah meminta saya tidak memberitahu pasangannya (mengenai pistol), dengan alasan sepatutnya senjata api ini telah diserahkan kepada pembeli dan hanya dia sahaja yang tahu mengenai barangan itu,” katanya.
Artikel berkaitan: Menteri Luar Negeri Indonesia Nafi Prabowo Akan Ke Israel
Artikel berkaitan: “Perkara dah jadi…” – Pelakon Bermalam Di Lokap Arab Saudi Gara-gara Pakai Baju ‘Save Palestine’
Dalam pada itu, peguam tertuduh, Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim membantah keterangan saksi berhubung jawapan reaksi anak guamnya, atas alasan ia bersifat pengakuan dan tidak boleh diterima berdasarkan peruntukan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950 (Akta 56).
Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi menegaskan keterangan terbabit bersifat umum dan tidak bermaksud pengakuan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 26 akta tersebut. Mahkamah menolak bantahan terbabit.
Terdahulu, pada 8 April 2024, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Suami Sharifah Faraha telah dihukum penjara
Pada 5 Jun 2025 lalu , suami kepada wanita itu Abdul Azim Mohd Yasin, 44, telah dihukum penjara 10 tahun dengan enam sebatan oleh mahkamah sama, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah, bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman serupa.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Israel Avitan Shalom, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.
Avitan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
Perbicaraan akan disambung hari ini.
Sumber: Harian Metro