Baru-baru ini, video tular di media sosial memaparkan seorang mak cik yang kelihatan begitu teruja sehingga memeluk dan mencium pipi selebriti popular, Bella Astillah, semasa majlis kenduri rakyat yang diadakan di Muar, Johor.
Insiden itu telah mencuri perhatian netizen sehingga timbul pelbagai reaksi dan perbincangan hangat di alam maya.
Artikel berkaitan : “Dia patut dapat award” – Space Dollah Anggap Makcik Yang Cium Pipi Bella Satu Tindakan Comel
Artikel berkaitan : Bella Astillah Geli Hati Tengok Hadiah Peminat Bagi Pijama Gambar Syed Saddiq
Menantu tampil jernihkan keadaan, siap call konti radio!

Terbaharu, menantu kepada warga emas berkenaan telah mengambil inisiatif untuk menghubungi konti stesen radio ERA menerusi segmen 3 Pagi ERA bagi menjernihkan keadaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka terus kepada Bella Astillah.
Menurut pemanggil yang dikenali sebagai Fariza, wanita yang tular dalam rakaman tersebut merupakan ibu mentuanya.
Fariza menjelaskan bahawa tindakan ibu mentuanya itu adalah di luar jangkaan dan semata-mata didorong oleh rasa teruja apabila dapat bersemuka dengan selebriti berkenaan.
“Baru-baru ni tentang yang viral mak cik kiss Bella tu kan… (dia) adalah mak mertua saya. Jadi kami satu keluarga ingin memohon maaflah ya di atas punya keterujaan mak saya tu. Benda tu di luar jangkaan orang tua kan, jadinya kita orang pun tak expect benda ni semua berlaku,” jelasnya.
Fariza turut berkongsi bahawa pihak keluarganya sebelum ini telah cuba menghantar mesej peribadi (PM) di akaun Instagram Bella untuk meminta maaf, namun tiada maklum balas.
Sebaik sahaja melihat Bella ke udara di radio ERA, dia terus merebut peluang untuk menghubungi stesen radio berkenaan demi menyampaikan permohonan maaf tersebut.
Bella Astillah tenang, siap minta maaf balik

Sikap profesional dan kelembutan hati Bella Astillah sekali lagi meraih pujian apabila dia menyambut permohonan maaf itu dengan hati terbuka dan langsung tidak menyimpan sebarang rasa marah.
Malah, pelakon dan penyanyi itu menegaskan dirinya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan. Lebih menyentuh hati, Bella pula yang memohon maaf sekiranya ada peminatnya yang bertindak keterlaluan sehingga menularkan rakaman ibu mentua pemanggil.
“Eh tak apa, tak apa. Saya sendiri, tuan punya badan okey, tak ada apa-apa masalah dan tak ada kecederaan pun.”
“Dan bagi pihak Bella juga mungkin minta maaf, mungkin ada peminat Bella yang terlebih prihatin yang mungkin viralkan mak mertua. Bella pun minta maaf juga,” balas Bella dengan mesra.
Di akhir perbualan, Bella sempat menitipkan salam mesra buat ibu mentua pemanggil tersebut dan berharap agar mereka berpeluang untuk berjumpa lagi pada masa akan datang.
Sumber: Instagram
