Bila sebut tentang naik taraf sekolah, antara perkara yang selalu menjadi perhatian mestilah kemudahan untuk murid dan guru. Yelah, persekitaran pembelajaran yang selesa pun memainkan peranan penting untuk memastikan sesi pembelajaran berjalan dengan lebih baik.
Terbaharu, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi di Georgetown, Pulau Pinang menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM100,000 menerusi Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) Kementerian Digital.
Menariknya, peruntukan ini bukan sekadar untuk penambahbaikan kecil, sebaliknya digunakan bagi menaik taraf beberapa kemudahan dan infrastruktur sekolah demi keselesaan seluruh warga sekolah.
RM100,000 Digunakan Untuk Tambah Baik Kemudahan Sekolah

Kementerian Digital dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi peruntukan tersebut, beberapa kemudahan di SK Jalan Residensi telah diperbaiki dan dinaik taraf.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pemasangan serta perolehan sistem siaraya tetap dan mudah alih, pendingin hawa, kipas siling, papan putih dan papan kenyataan.
Bukan itu sahaja, peruntukan berkenaan turut digunakan untuk membina bumbung sengkuap (awning) zink di bilik seni dan ruang wuduk.
Malah, pembinaan sinki konkrit berjubin turut dilaksanakan bagi memberikan lebih keselesaan kepada warga sekolah.
“Secara tidak langsung, kemudahan ini diharap dapat membantu menyediakan persekitaran sekolah yang lebih kondusif untuk aktiviti pembelajaran dan urusan harian murid serta guru.”
Bukan Sekadar Naik Taraf Sekolah, Murid Turut Didedahkan Dengan Teknologi AI

Selain penambahbaikan infrastruktur, program ini turut memberi perhatian kepada pendedahan teknologi digital kepada generasi muda.
Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI yang berlangsung pada 30 Oktober 2026 itu diadakan serentak dengan sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah.
Lebih menarik, murid-murid turut berpeluang meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyertai aktiviti pendedahan literasi digital yang dianjurkan oleh Biji-biji Initiative dan AI Malaysia Berhad.
Selain pertandingan mewarna, pengisian interaktif ini bertujuan membuka ruang kepada murid untuk mengenali dunia digital dengan lebih dekat serta memupuk celik digital sejak usia muda.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Digital.
“Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI ini, Kementerian Digital terus komited melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta pendedahan kepada teknologi digital.
“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada langkah menyokong aspirasi Malaysia ke arah Negara AI 2030, supaya generasi akan datang bukan sahaja mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih baik, malah turut bersedia menghadapi perkembangan dunia digital.”
Sumber: Siaran Media Kementerian Digital.
