Setiap ibu pastinya mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Namun, bagi seorang ibu yang membesarkan anak seorang diri, perjalanan untuk memastikan masa depan anak terjamin pastinya datang dengan pelbagai pengorbanan.
Itulah realiti yang dilalui Danesh Raj Nagarajan sejak kecil apabila ibunya menjadi ibu tunggal ketika beliau baru berusia lima tahun.
Sebagai anak tunggal, Danesh membesar dengan melihat sendiri usaha dan pengorbanan ibunya yang bekerja sebagai guru tari demi memberikan kehidupan serta peluang terbaik buat dirinya.
Pengalaman itu secara tidak langsung membentuk cara Danesh melihat kehidupan. Beliau sedar bahawa setiap peluang bukan sesuatu yang datang dengan mudah, setiap impian memerlukan usaha dan setiap pencapaian menuntut pengorbanan.
Siapa sangka, anak yang membesar dalam keluarga ibu tunggal ini akhirnya berjaya menjadi graduan pertama dalam keluarganya sebelum mencipta sejarah sebagai individu termuda yang dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) pada usia 26 tahun.
Namun, perjalanan Danesh untuk sampai ke tahap ini bukan sekadar tentang kejayaan akademik atau jawatan yang disandang.
Danesh Jadi Graduan Pertama Dalam Keluarga

Membesar sebagai anak tunggal dengan seorang ibu yang membesarkannya sendiri membuatkan Danesh memahami bahawa beliau tidak semestinya mempunyai laluan kehidupan yang sama seperti sesetengah individu lain.
Ketika rakan-rakan sebaya mungkin hanya perlu memikirkan tentang impian dan masa depan masing-masing, Danesh sudah mempunyai satu kesedaran yang sentiasa dibawa bersama iaitu mahu menjadikan segala pengorbanan ibunya berbaloi.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, pendidikan tetap menjadi antara keutamaan dalam kehidupannya.
Perjalanan akademiknya bermula apabila beliau memasuki program asasi di Universiti Malaya pada tahun 2012 sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang seni.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Danesh berjaya menamatkan pengajian dan menjadi individu pertama dalam keluarganya yang memperoleh kelulusan universiti.
Pencapaian itu membawa makna yang jauh lebih besar kerana ia turut menjadi simbol pengorbanan seorang ibu yang selama ini berusaha memberikan masa depan lebih baik buat anaknya.
Pelajar India Pertama Pegang Jawatan Kepimpinan Kolej UM

Menariknya, perjalanan Danesh di Universiti Malaya bukan hanya tertumpu kepada akademik, sebaliknya ketika masih bergelar mahasiswa, beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti kepimpinan dan persatuan universiti.
Antaranya, beliau pernah menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar serta mencatat satu pencapaian tersendiri apabila menjadi pelajar India pertama yang memegang jawatan Speaker/Presiden Majlis Presiden-Presiden Kolej Kediaman Universiti Malaya.
Penglibatan aktifnya dalam dunia kepimpinan mahasiswa turut mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima beberapa anugerah daripada Universiti Malaya.
Antara anugerah yang pernah diterimanya termasuk Anugerah Intan Terbilang Kolej Kediaman Kedua UM, Anugerah Tokoh Kepimpinan Pusat Kebudayaan UM, Anugerah Kesenian Terbaik Kolej Kediaman Kedua UM, Anugerah Bintang Pusat Kebudayaan Pusat Kebudayaan UM dan Anugerah Permata Harapan Kolej Kediaman Kedua, UM.
Pengiktirafan ini memperlihatkan penglibatan Danesh bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut aktif menyumbang kepada kehidupan kampus melalui kepimpinan dan kesenian.
Pengalaman tersebut juga menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk dirinya sebelum melangkah ke peringkat kepimpinan yang lebih besar.
Usia 26 Tahun Dah Duduk Dalam Lembaga Pengarah Universiti Malaya

Kalau perjalanan menjadi graduan pertama dalam keluarga sudah cukup membanggakan, Danesh kemudiannya mencipta satu lagi pencapaian yang cukup luar biasa.
Pada usia 26 tahun, beliau dilantik sebagai individu termuda yang pernah menganggotai Lembaga Pengarah Universiti Malaya.
Pelantikan tersebut dibuat atas pemilihan Menteri, sekali gus membuka peluang kepada Danesh untuk menyumbang pada peringkat tadbir urus institusi pendidikan tinggi.
Jika dahulu beliau berdiri di pentas konvokesyen sebagai seorang graduan yang meraikan kejayaan sendiri, kini beliau berpeluang duduk di pentas yang sama sebagai Ahli Lembaga Universiti, menyaksikan ribuan graduan lain menerima pengiktirafan atas usaha masing-masing.
Bantu Tiga Lagi Ahli Keluarga Ikut Jejak Langkahnya

Namun, mungkin perkara paling bermakna dalam perjalanan Danesh bukanlah jawatan atau pengiktirafan yang diterimanya, sebaliknya bagaimana beliau menggunakan kejayaan sendiri untuk membuka peluang kepada ahli keluarganya yang lain.
Selepas menjadi graduan pertama, Danesh tidak mahu pendidikan tinggi hanya menjadi pencapaian peribadi dan menerusi dorongan, bimbingan sertaa sokongan yang diberikan, beliau berjaya membantu tiga lagi ahli keluarganya melanjutkan pengajian sehingga tamat universiti.
Bayangkan, daripada seorang graduan dalam keluarga, kini jumlahnya meningkat kepada empat orang dan bukan itu sahaja, Danesh turut memainkan peranan membimbing selain memberikan galakan kepada golongan muda untuk berani melanjutkan pengajian tinggi serta percaya kepada kemampuan diri sendiri.
Baginya, bukan semua anak muda mempunyai akses kepada bimbingan, pendedahan dan galakan yang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran.
Kejayaan Sebenar Bukan Sekadar Berjaya Untuk Diri Sendiri
Sepanjang perjalanan profesionalnya, Danesh turut memperoleh pengalaman dalam bidang pendidikan, hal ehwal korporat, komunikasi strategik, penglibatan media dan kepimpinan.
Namun, beliau percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar tentang jawatan atau gelaran yang dimiliki seseorang.
Sebaliknya, nilai sebenar kepimpinan terletak pada impak yang mampu dihasilkan serta sejauh mana peluang yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk membantu orang lain.
Perkara itu juga dapat dilihat melalui prinsip hidupnya yang mahu memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang pendidikan dan ruang untuk mencapai potensi masing-masing.
Malah, beliau pernah berkongsi satu perkara yang cukup bermakna tentang perjalanan hidupnya:
“Suatu ketika dahulu, saya merupakan orang pertama dalam keluarga yang melangkah di pentas konvokesyen dengan segulung skrol di tangan. Beberapa tahun kemudian, saya mendapati diri saya duduk di pentas yang sama sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti termuda, menyaksikan begitu ramai graduan melangkah dengan penuh kebanggaan dan kejayaan.
“Ketika itulah saya menyedari bahawa pencapaian terbesar bukanlah sekadar menjadi orang pertama. Sebaliknya, memastikan saya bukanlah orang terakhir dan membantu lebih ramai orang mendapat peluang untuk merasai kejayaan yang sama.”
Sumber: Kementerian Perpaduan Negara
