Korang pernah tak tiba-tiba dapat SMS kononnya daripada syarikat kurier, minta klik pautan untuk semak status penghantaran atau buat bayaran tambahan bagi parcel?
Hati-hati! Mesej seperti ini mungkin salah satu taktik scammer untuk memperdaya pengguna.
Menyedari ancaman penipuan berkaitan bungkusan yang semakin meningkat, Postal Forum melancarkan Parcel Shield, sebuah inisiatif anti-penipuan bagi memperkukuh kerjasama antara industri pos, kurier dan e-dagang dalam melindungi pengguna.
Pelancaran yang berlangsung pada 31 Oktober 2026 itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, bersempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC).
14 Organisasi Bergabung, Kongsi Maklumat Untuk Lawan Scam Parcel
Antara teras utama inisiatif ini ialah penubuhan Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG), sebuah platform khusus untuk berkongsi maklumat, menyalurkan amaran awal dan menyelaraskan langkah pencegahan terhadap penipuan berkaitan bungkusan.
Setakat ini, PSWG dianggotai 14 organisasi berdaftar termasuk ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, MTR Freight, Pos Malaysia, SF Global Express, Skynet Worldwide, SPX Express, Teleport, TikTok Shop, United Parcel Service (UPS) dan Mudah.my.
Kerjasama ini membolehkan organisasi terlibat berkongsi maklumat serta amalan terbaik bagi mengenal pasti dan menangani risiko penipuan dalam ekosistem penghantaran.
Scam COD, Notifikasi Palsu Antara Taktik Yang perlu Korang Awasi
Antara penipuan berkaitan parcel yang semakin membimbangkan termasuk penipuan pembayaran semasa penghantaran atau Cash-on-Delivery (COD), notifikasi penghantaran palsu, cubaan pancingan data (phishing) serta penyamaran sebagai syarikat kurier yang sah.
Selain berisiko menyebabkan kerugian kewangan, kegiatan ini turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan pos, kurier dan e-dagang yang sah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum, Nurhafizah Hanifah, Parcel Shield membawa mesej jelas kepada sindiket penipuan bahawa industri kini bersatu dan akan berkongsi maklumat risikan bagi menutup ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi.
Beliau turut menegaskan bahawa pengguna tidak bersendirian kerana hebahan maklumat akan terus disalurkan bagi membantu orang ramai lebih peka terhadap taktik penipuan terkini.
“Parcel Shield membawa dua mesej yang jelas. Kepada sindiket penipuan: industri kini bersatu, kami berkongsi maklumat risikan dan kami akan menutup setiap ruang kelemahan yang cuba dieksploitasi.
“Kepada pengguna,anda tidak bersendirian.Kami akan terus menyalurkan maklumat agar anda sentiasa selangkah di hadapan.Setiap rakyat Malaysia seharusnya dapat menerima notifikasi penghantaran,membuat pembayaran atau membuka pintu kepada penghantar kurier tanpa rasa takut.”
Ini 5 Langkah Untuk Elak Jadi Mangsa Scam Parcel
Menerusi inisiatif ini, maklumat yang dikumpulkan oleh PSWG akan digunakan untuk menghasilkan hebahan amaran penipuan kepada orang ramai melalui pelbagai saluran komunikasi.
Dalam masa sama, Postal Forum turut mengingatkan pengguna supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak klik sebarang pautan dalam SMS, WhatsApp atau e-mel yang tidak diminta dan mendakwa dihantar oleh syarikat kurier.
Selain itu, orang ramai diminta menyemak status penghantaran hanya melalui aplikasi, laman web atau saluran khidmat pelanggan rasmi syarikat kurier.
“Jangan terima atau buat pembayaran bagi bungkusan COD yang tidak pernah pesan dan hubungi syarikat kurier melalui saluran rasmi sekiranya terdapat sebarang keraguan.
“Jika sudah menjadi mangsa penipuan, segera laporkan kejadian kepada pihak berkuasa berkaitan.”
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata berdasarkan statistik menunjukan daripada keseluruhan 44 kes penipuan bungkusan, hanya dua kes berjaya dibawa ke mahkamah.
Beliau turut menyentuh jumlah penghantaran kurier yang kini mencecah 1.5 bilion, sekali gus menunjukkan kepentingan usaha memperkukuh perlindungan pengguna dan integriti industri pos serta kurier.
“Ini melibatkan kefasihan pengguna dalam menilai keadaan dan melibatkan ekosistem yang lebih besar merangkumi sektor e-dagang.
“Namun, jika dibandingkan dengan penghantaran melalui kurier yang kini mencecah 1.5 bilion, bilangannya adalah kecil, dan PSWG hanya akan menjadi benteng yang mantap buat pengguna dan memperkukuh integriti industi pos dan kurier.”
Sumber: Siaran media Postal Forum
