Seorang ibu yang mempunyai 10 orang anak berada dalam kebuntuan selepas dia diminta berpindah dari rumah sewa kerana pemilik katanya telah menjual rumah berkenaan kepada pembeli baru.
Menurut Harian Metro, walau bagaimanapun nasib wanita tersebut berubah selepas seorang jurugambar, Keow Wee Loong, 33, telah terserempak dengan Rosliza Hassan, 37, pada pukul 7 pagi semalam ketika dalam perjalanan ke kedai makan.
Sungguhpun mereka saling tak mengenali antara satu sama lain, jurugambar ini telah mengambil inisiatif dengan berkongsi gambar wanita tersebut yang kelihatan buntu bersama longgokan barang di luar rumah seperti tilam, peti ais dan perabot ke media sosial sehingga ia mendapat perhatian ramai.
Tak sampai beberapa jam dah dapat kediaman baru
Apa yang lebih menggembirakan ialah Rosliza dan 10 anaknya kini sudah mendapat kediaman baru di Taman Machang Bubok selepas beberapa jam diminta keluar dari rumah hasil bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Menurut Rosliza, dia bukan dihalau tetapi telah diminta keluar dari rumah sewa tersebut kerana pemiliknya sudah menjual kepada pembeli baru.
“Saya tiada pilihan melainkan berpindah dan mencari penempatan lain. Tapi dengan pendapatan bulanan sebanyak RM700 sebagai pembantu kedai makan berhampiran rumah, ia tidak mencukupi untuk mencari kediaman baru.
“Saya menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) sejak 2011 dan wang itu yang digunakan untuk membayar sewa rumah.
“Apabila diminta keluar dari rumah sewa, saya jadi buntu kerana tiada simpanan untuk membayar wang pendahuluan,” katanya.
Walaupun anak sulungnya berusia 20 dan 21 tahun serta bekerja sebagai pembantu makanan, pendapatan mereka juga tidak seberapa untuk membantu ibu dan adik-adik lain.
“Jadi bagaimana kami mahu berpindah ke rumah baru. Mujurlah ada Keow dan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat (YB) Steven kerana prihatin dan membantu kami sekeluarga,” katanya.
“Saya lihat peti aisnya yang hanya ada makanan sudah tamat tarikh luput…”
Menurut Keow pula, dia terserempak dengan Rosliza secara kebetulan ketika dalam perjalanan untuk bersarapan.
Melihatkan keadaan wanita tersebut dalam kesusahan, hatinya tergerak untuk membantu tambah-tambah pula anak Rosliza masih lagi kecil.
Lebih menyedihkan apabila lihat peti aisnya yang hanya ada makanan sudah tamat tarikh luput malah Kak Ros beritahu dia hanya mampu memberi anak makan nasi berlauk bawang dan kuah kari.
“Saya kongsikan kisah itu di IG dan gembira apabila ia mendapat perhatian segera YB Steven yang datang sendiri melihat keadaan Kak Ros,” katanya.
Dia juga ada cuba berunding dengan tuan rumah untuk memberi sedikit tempoh lagi kepada wanita tersebut dan anak-anaknya tinggal di rumah berkenaan namun panggilannya tidak berjawab.
Disebabkan kasihan dengan nasib Rosliza, dia cuba mendapatkan penempatan lain yang tidak jauh dari rumah sewa lamanya.
Kisah mengenai Rosliza juga dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di Twitternya dan beliau juga telah membawa keluarga tersebut membeli barang keperluan harian serta baju raya sempena Aidilfitri nanti.
Bila saya sampai rumah Puan Ros, dia duduk depan rumah menangis. Dia kata, dia takpa dia bimbang anak-anaknya. Sebak hati saya.
Saya janji dengannya, sebelum matahari turun hari ni, saya akan pastikan keluarga mereka akan ada bumbung atas kepala. https://t.co/qGAs45BQbh
1/4— Steven Sim 🇲🇾 (@scheekeong) April 4, 2021
Syukurlah Puan Rosliza ditemukan dengan orang-orang yang baik hati dapat membantunya dalam kesusahan. Semoga terus tabah!