in

“Tempat itu nak dirobohkan, tiba-tiba NGO datang bersihkan” – TMB Kelantan Ulas Isu Roboh ‘Bus Stop’

Tmb Kelantan Isu Roboh Bus Stop Ft

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Usaha murni sekumpulan sukarelawan yang sanggup meluangkan masa membersihkan dan mencantikkan hentian bas di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila lokasi yang sudah dibersihkan itu kemudiannya dirobohkan.

Susulan isu berkenaan, Kerajaan Kelantan menyarankan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) supaya merujuk dan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti membersihkan atau menghias kemudahan awam.


Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan salah faham antara NGO dengan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, insiden membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu berlaku kerana pihak berkuasa berkenaan sebenarnya sudah mempunyai perancangan serta peruntukan untuk membaik pulih hentian bas terbabit.

Malah, MPKB-BRI turut menerima peruntukan daripada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

“MPKB-BRI bukan sahaja mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, malah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Jadi di sini mungkin ada sedikit salah faham.

“Jadi saya rasa dalam hal itu, untuk mengelakkan daripada berlaku salah faham, mana-mana pihak NGO boleh merujuk dan bekerjasama dengan MPKB-BRI,” katanya.

Artikel berkaitan: Dah Mohon Bantuan Tapi Tiada Jawapan, Lelaki OKU Di Kelantan Akhirnya Terima Kerusi Roda Dari Steven Sim

Artikel berkaitan: ‘Founder’ Kelantan Disiasat Anjur Majlis Hari Jadi Tema Bunian, Boleh Berdepan Penjara & Denda RM5,000

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, sekiranya NGO berhasrat untuk melakukan kerja pembersihan di mana-mana hentian bas, mereka boleh mendapatkan maklumat daripada MPKB-BRI terlebih dahulu.

Katanya, perkara itu bagi memastikan usaha yang dilakukan tidak bertindih dengan perancangan sedia ada pihak berkuasa sehingga menimbulkan salah faham seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Ini kerana kita tidak mahu berlaku (salah faham) sebegini. Tempat itu nak dirobohkan, tiba-tiba ada NGO (Hiyaz Community) datang bersihkan.

“Apabila dirobohkan, jadilah sebegitu (salah faham). Jadi saya rasa isu sebegitu boleh kita elakkan sekiranya ada persefahaman antara pihak NGO dengan pihak berautoriti,” katanya.

Terdahulu, kumpulan sukarelawan dikenali sebagai Hiyaz Community meluahkan rasa kesal apabila hentian bas yang baru sahaja dicat dan dibersihkan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh didakwa dirobohkan.

Susulan isu yang tular itu, MPKB-BRI menerusi satu hantaran di Facebook menjelaskan bahawa pihaknya sedang melaksanakan projek naik taraf dan baik pulih hampir 50 hentian bas di sekitar bandar Kota Bharu.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.