Benua Eropah kini sedang berdepan dengan gelombang haba yang luar biasa dahsyat. Suhu mencatatkan rekod tertinggi sehingga melebihi 40°C di beberapa buah negara.
Keadaan ini bukan lagi sekadar isu “cuaca panas biasa,” tetapi sudah bertukar menjadi krisis kemanusiaan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 1,300 kes kematian telah dicatatkan dalam tempoh seminggu sahaja sejak gelombang haba ekstrem ini bermula pada akhir Jun. Perancis sahaja melaporkan sekitar 1,000 kematian tambahan, malah hospital-hospital di Paris kini dilaporkan mula sesak dengan pesakit.
Artikel berkaitan: Lelaki Di China Menyorok Dalam Peti Sejuk Gara-gara Cuaca Terlalu Panas
Artikel berkaitan: Cuaca Terlalu Panas, 206 Sekolah Di Pendang & Kota Setar Jalani PdPR Selama 3 Hari Hingga Selasa Ini

Namun, di sebalik angka kematian yang membimbangkan ini, majoriti rumah di Eropah masih tiada pendingin hawa (aircond). Di Amerika Syarikat, hampir 90% kediaman ada aircond, tetapi di Eropah, angkanya cuma sekitar 20% sahaja!
Mengapa negara-negara kaya ini seperti enggan memasang aircond walaupun cuaca sudah mula mengorbankan nyawa? Ini 4 punca utamanya:
Sejarah Cuaca: Dulu Sejuk, Sekarang “Pembunuh Senyap”
Secara tradisinya, negara Eropah (terutamanya di bahagian utara dan tengah) mempunyai iklim yang sejuk. Gelombang haba memang pernah berlaku dulu, tetapi ia sangat jarang dan singkat. Oleh itu, masyarakat di sana melihat aircond sebagai satu kemewahan yang membazir.

Disebabkan itu, perubahan iklim yang mendadak menjadikan haba ekstrem ini sebagai “pembunuh senyap” kerana penduduknya langsung tidak bersiap sedia.
Bil Elektrik Mahal & Struktur Gaji
Kos untuk membeli, memasang, dan menyelenggara aircond di Eropah adalah sangat tinggi. Ditambah pula dengan krisis tenaga, tarif elektrik di kebanyakan negara Eropah adalah jauh lebih mahal berbanding di AS, manakala kadar pendapatan purata mereka pula lebih rendah.

Ramai yang tidak mampu membayar bil elektrik yang melambung tinggi jika kerap menghidupkan aircond.
Seni Bina Rumah Lama & Isu Birokrasi
Banyak bangunan dan rumah di Eropah sudah berusia ratusan tahun (contohnya di United Kingdom, 1 daripada 6 rumah dibina sebelum tahun 1900).
Sukar diubah suai: Rumah lama direka untuk menyimpan haba (suhu sejuk) dan tidak mempunyai sistem paip atau pendawaian untuk aircond moden.

Sekatan undang-undang: Pihak berkuasa tempatan sering menolak permohonan pasang aircond kerana unit pemampat (condenser) di luar bangunan dianggap “merosakkan pemandangan” estetika bandar bersejarah mereka.
Dilema Alam Sekitar
Eropah mempunyai sasaran politik yang sangat ketat untuk menjadi “neutral iklim” menjelang tahun 2050. Isunya termasuklah, pendirian yang menyatakan aircond adalah alatan yang sangat kuat “makan” elektrik.
Sistem aircond berfungsi dengan menyedut haba dalam rumah dan membuangnya ke luar. Kajian di Paris menunjukkan penggunaan aircond secara besar-besaran boleh menaikkan suhu luar bandar sebanyak 2°C hingga 4°C!
Jika elektrik itu masih dijana menggunakan bahan api fosil, ia melepaskan lebih banyak gas rumah hijau. Akhirnya, bumi jadi makin panas, dan kita perlukan lebih banyak aircond, ia secarang menjadikan satu kitaran berulang yang merosakkan alam sekitar.
Penduduk Eropah kini berada di persimpangan jalan yang kritikal. Tabiat menolak aircond ini terpaksa diubah kerana cuaca malam yang terlalu membahang sehinggakan permintaan pasaran kini dilaporkan melonjak tiga kali ganda.
Cabaran terbesar kerajaan di sana sekarang adalah memastikan aircond yang bakal dijual pada masa hadapan adalah jenis yang sangat cekap tenaga bagi mengelakkan impak buruk terhadap krisis iklim global.
Sumber: CNN, Al Jazeera
