Malaysia perlu mempertimbangkan semula keberadaan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya badan berkenaan enggan bekerjasama dalam urusan isu pelarian.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan proses saringan dapat dilakukan secara ketat sebelum mana-mana kad UNHCR diberikan kepada seseorang pelarian.
Artikel berkaitan: Mohon Maaf Sebab Jalan Sesak Akibat Penutupan Jalan, Tok Mat Cadang ‘WFH’ & PdPR Ketika ASEAN Summit Nanti
Artikel berkaitan: Dakwa Dihalau Dari Pulau Pinang, Ratusan R*hingya Berkampung Depan Pejabat UNHCR

“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.
Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan.
Desak Perjanjian Jelas & SOP Ketat
Menurut Mohamad, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang mengambil langkah bagi memastikan setiap individu menjalani saringan menyeluruh dan mendapat persetujuan kementerian itu sebelum sebarang kad UNHCR dikeluarkan.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu mempunyai perjanjian antarabangsa yang jelas bersama UNHCR bagi menetapkan bidang kuasa, tanggungjawab, serta kawalan SOP badan berkenaan di negara ini.
“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka boleh buat apa ataupun mereka tidak boleh buat itu dan ini.
Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP).
Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad. Ini bermakna saringan kita tidak ada. Ini yang perlu kita uruskan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa Malaysia perlu sentiasa mengimbangi pertimbangan kemanusiaan dengan kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.
Sumber: Berita Harian
