Malaysia dilaporkan mula menghantar pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar menerusi fasa pertama program penghantaran pulang, meskipun usaha berkenaan mencetuskan kebimbangan daripada pelbagai kumpulan hak asasi manusia.
Kumpulan ini merupakan sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang ditahan di pusat tahanan dan didakwa bersetuju untuk pulang secara ‘sukarela’.
Artikel berkaitan: KDN Umum Laksanakan Proses Tapis 5,000 Pelarian Rohingya
Artikel berkaitan: Merhrom Gesa Kerajaan Tangguh Rancangan Hantar Pulang 5,000 Pelarian Rohingya Ke Myanmar
Konvoi bas diiringi polis ke Pangkalan TLDM Lumut
Berdasarkan tinjauan media antarabangsa AFP, puluhan bas kelihatan tiba di Stadium Majlis Perbandaran Manjung berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dengan kawalan ketat pihak polis.

Kesemua warga Myanmar terbabit dijangka menjalani proses dokumentasi terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke pangkalan tentera laut untuk dihantar pulang menggunakan kapal.
Isu etnik Rohingya & kebimbangan kumpulan hak asasi
Setakat ini, butiran lanjut mengenai sama ada kumpulan tersebut merangkumi etnik minoriti Rohingya masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa. Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik Rohingya membentuk dua pertiga daripada anggaran 190,000 pelarian serta pencari suaka Myanmar yang berada di Malaysia.
Langkah penghantaran pulang ini menyusul selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu mengenai persetujuan Myanmar untuk menerima semula 5,000 pelarian. Tindakan itu diambil berikutan penahanan lebih 100 pelarian yang mengadakan perhimpunan di luar pejabat agensi pelarian PBB di Kuala Lumpur selepas diusir dari penempatan tidak rasmi.
Jaminan proses selamat dan bermaruah
Meskipun menerima kritikan daripada PBB dan organisasi hak asasi manusia, pihak pentadbiran Myanmar pada awal September memberi jaminan bahawa mana-mana warganegaranya di luar negara akan dibawa pulang secara selamat dan bermaruah.
Bagi mempercepatkan lagi proses penghantaran pulang ini, Perdana Menteri turut memaklumkan beliau berhasrat menjemput Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Sumber: Sinar Harian
