in

Bukan PATI Saja, 1,809 Majikan Turut Dicekup KDN & JIM Setakat September 2026

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 33

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bukan perkara baharu di Malaysia, malah, masalah ini sudah lama menjadi antara isu yang mencabar penguatkuasaan negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) nampaknya mahu perkara ini ditangani dengan lebih tegas menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan setiap hari di seluruh negara.


Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkongsi beberapa angka operasi JIM bagi menunjukkan usaha yang sedang dilakukan untuk menangani isu PATI.

 “Alhamdulillah, usaha KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menangani isu PATI terus digerakkan setiap hari. Pada hantaran hari ini, saya ingin berkongsi beberapa fakta dan angka supaya rakyat dapat melihat sendiri usaha yang sedang kita lakukan serta hasil yang telah dicapai.”

Lebih 10,000 Operasi Dijalankan

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 10,374 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara, dengan 137,603 individu diperiksa.

Daripada jumlah itu, 37,313 PATI telah ditangkap.

Dalam masa yang sama penguatkuasaan turut menyasarkan pihak yang menggaji dan melindungi PATI.

Sebanyak 1,809 majikan ditangkap, termasuk 1,692 warganegara Malaysia yang dipercayai bersubahat menggaji dan melindungi PATI.

Jumlah tangkapan majikan ini juga menunjukkan peningkatan ketara. Daripada 346 pada 2023, ia meningkat kepada 1,859 pada 2024 dan 2,202 pada 2025.

Setakat September 2026 pula, sebanyak 1,809 majikan telah ditangkap.

Jelas Saifuddin, tindakan penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI, sebaliknya perlu turut melibatkan pihak yang memberi ruang kepada mereka.

KDN Tak Mahu Operasi Bermusim

Menurut beliau, operasi ini bukan tindakan bermusim atau hanya dilakukan apabila sesuatu isu menjadi perhatian.

“Kita tidak boleh lagi sekadar bertahan atau bertindak apabila sesuatu isu berlaku. Saya mahu KDN bersama JIM terus mengambil pendekatan ofensif menerusi operasi harian tanpa henti di seluruh negara.”

Pada masa sama, warga asing diingatkan supaya menggunakan saluran undang-undang yang sah untuk bekerja atau berada di Malaysia.

Majikan pula diberi amaran supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi keuntungan mudah.

“Menggaji dan melindungi PATI demi mengaut keuntungan mudah bermakna anda turut menyumbang kepada ancaman terhadap keselamatan negara.”

Saifuddin turut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak melindungi PATI kerana isu ini bukan sekadar soal imigresen, malah boleh memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan dan ketenteraman sosial.

“Jangan sesekali lindungi PATI. Bersama-sama kita bantu KDN dan JIM menyelesaikan krisis ini demi masa depan anak cucu kita.”

Beliau berkata usaha KDN dan JIM akan diteruskan bagi “menoktahkan” isu PATI, dengan rakyat dan majikan turut memainkan peranan dalam memastikan usaha tersebut dapat dicapai.

Sumber: Facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.