Tangisan dan luahan pilu seorang abang yang tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan detik cemas adik bongsunya parah diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Sabtu lalu benar-benar menyentuh hati netizen.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, mengalami kecederaan parah dengan kepalanya terkoyak manakala pipinya berlubang akibat digigit lima ekor anjing liar berkenaan.
Artikel berkaitan: Pemilik Rocky Dituduh Atas Dakwaan Bela Anjing Tanpa Lesen
Artikel berkaitan: Penunggang Motosikal Koma Seminggu Selepas Dikejar Anjing Liar Mungkin Alami Kecederaan Otak Kekal
@shahrol.shiro Melawat keluarga adik Haira berusia 2 tahun yang kritikal diserang 5 ekor anjing liar di Peserai Batu Pahat. Wajah kesedihan jelas kelihatan dan lebih trauma abang sulung beliau Hanif yang melihat kejadian dihadapan mata. Dapat juga bersama team MPBP operasi menangkap anjing liar tersebut tetapi tadi berjaya jumpa sarang anaknya dan operasi akan diteruskan. Semoga adik Haira diberi kesihatan yang kembali pulih dan diberi juga ketabahan buat keluarga menghadapi ujian ini 🤲
“Saya nampak depan mata sendiri cik… darah-darah cik,” luah abang mangsa.
Abang mangsa, Hanif, yang kelihatan mengalirkan air mata sambil ditenangkan oleh orang ramai diingatkan agar tidak menyalahkan diri sendiri atas insiden malang yang berlaku secara tiba-tiba itu. Sebagai abang, dia diharap terus kuat demi keluarga dan adiknya.
Kejadian mencemaskan itu mula disedari nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, yang menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik sahaja keluar dari bilik mandi dan mendapati pintu gelangsar rumah terbuka.
Darlinda terkejut apabila melihat lima ekor anjing sedang mengerumuni dan menggigit cucunya di hadapan rumah sebelum ahli keluarga lain bergegas keluar untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
Menurut keluarga, anjing liar tersebut dipercayai ditinggalkan oleh pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran. Kehadiran haiwan liar yang berkeliaran di sekitar kawasan rumah memang sudah lama membimbangkan penduduk kampung.
Nur Haira yang berada dalam keadaan sangat lemah dan berlumuran darah segera dilarikan ke Hospital Sultanah Nora Ismail sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan terpaksa ditidurkan ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Aduan dan liputan kes tersebut telah menarik perhatian ramai termasuk pihak berkuasa dan pasukan penangkap anjing yang kini mula menjalankan operasi menjejaki serta menangkap kawanan anjing liar berkenaan di kawasan kebun sawit berhampiran.
Perkembangan terkini memaklumkan bahawa Nur Haira selamat menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil, manakala pihak polis telah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.
