in

Penunggang Motosikal Koma Seminggu Selepas Dikejar Anjing Liar Mungkin Alami Kecederaan Otak Kekal

Dikejar Anjing Koma Cedera Otak Kekal

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang penunggang motosikal yang sebelum ini koma lebih seminggu selepas kenderaan yang ditunggangnya terbabas akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang kini berdepan kemungkinan mengalami kecederaan otak kekal.

Mangsa yang merupakan seorang mekanik, Muhammad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan, namun masih mengalami gangguan ingatan dan memerlukan pemantauan keluarga sepanjang masa.


Menurut kakaknya, Rozaini Che Ahmad, 43, doktor memaklumkan adiknya berkemungkinan mengalami kecederaan kekal pada otak dan mungkin tidak dapat kembali normal sepenuhnya.

“Alhamdulillah dia kini sudah boleh berjalan, bercakap dan makan sendiri, tetapi ingatannya masih terganggu.

“Kadang-kadang dia ingat, lupa dan ada masanya bercakap perkara yang merapu,” katanya.

Screenshot 2026 08 04 101513

Artikel berkaitan: Insiden Kematian Rocky: Datuk Bandar MBDK Tegaskan Tangkapan Ikut SOP

Artikel berkaitan: “Bahayanya!” – Pelajar Sekolah Hampir Kemalangan Dikejar Anjing Liar

Peluang hidup 50 peratus

Mengimbas kejadian pada awal pagi 13 Julai lalu, Rozaini berkata adiknya dalam perjalanan pulang dari kedai sebelum dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar.

Katanya, Muhamad Shahrul dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh sehingga mengalami pendarahan serius di bahagian kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.

“Doktor beritahu pendarahan di kepala terlalu banyak dan peluangnya ketika itu hanyalah 50 peratus, namun keluarga kemudian diminta membuat keputusan segera untuk membenarkan pembedahan dilakukan.

“Selepas pembedahan, dia ditidurkan dan hanya sedar kira-kira seminggu kemudian,” katanya.

Rozaini turut berkongsi sepanjang Muhammad Shahrul dirawat, ibu mereka tidak mampu menahan sebak melihat keadaan anak bongsunya itu.

Malah insiden tersebut turut memberi kesan besar terhadap emosi, kesihatan dan kewangan keluarga.

Dalam pada itu, Rozaini berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap isu lambakan anjing liar di kawasan perumahan berkenaan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Menurutnya, dia sendiri pernah dikejar empat ekor anjing ketika menunggang motosikal bersama anak kecil dan seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun. Malah, beberapa jiran di kawasan tersebut turut pernah mengalami situasi sama.

Rozaini memberitahu, keluarganya kini reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana Muhamad Shahrul selamat dan semakin pulih.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.