Kehilangan insan tersayang pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi apabila insan itu sudah puluhan tahun menemani perjalanan hidup kita.
Seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berterima kasih kepada mana-mana pihak yang membantu dalam menguruskan pengebumian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, selain doa yang tidak putus-putus kepada isteri tercinta itu.
Artikel berkaitan : “Inilah yang kami rindukan” – Tun M Dilihat Tersenyum Ketika Hadiri Majlis Tahlil di Yayasan Perdana
Artikel berkaitan : “Tun nampak makin sihat” – Diziarahi Tuanku Raja Perlis, Ramai Bersyukur Lihat Keadaan Terkini Tun M
Allah telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama – Tun M
Dalam kenyataan tersebut, Tun Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa beliau sudah cuba kembali ke pejabat, namun keadaan dirinya masih belum begitu kuat.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada ahli keluarga serta semua pihak yang membantu dalam menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarhamah tempoh hari.
“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat. Bagi pihak kesemua ahli keluarga, saya nak ambil kesempatan untuk ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah tempoh hari.”

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir turut mengakui dirinya amat terharu dengan doa yang berterusan buat Allahyarhamah.
“Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja.”
“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” tulisnya.
Beliau turut memohon maaf sekiranya tidak dapat memberikan sebagai respon terhadap ucapan dan salam yang ditujukan kepadanya sebelum ini.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab.”
Untuk rekod, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia pada 28 September 2026, jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun. Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari yang sama, dengan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anak serta ahli keluarga serta rakan taulan.
Sumber : Threads @chedetofficial
