in

101 Tahun Tun Mahathir, Ini 7 Fakta Mengenai Beliau Yang Ramai Tak Tahu!

Tun Mahathir 101 Tahun

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tanggal 10 Julai merupakan tarikh istimewa dan detik bersejarah buat Tun Dr Mahathir Mohamad apabila negarawan itu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101.

Satu abad menjalani kehidupan, nama Tun Mahathir bukan sekadar dikenali sebagai Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat, malah beliau menjadi antara tokoh yang paling banyak mempengaruhi landskap politik, ekonomi dan pembangunan negara.


Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik yang lebih mesra dipanggil Che Det.

Dibesarkan dalam keluarga guru, Tun Mahathir mewarisi sifat disiplin tinggi dan semangat menuntut ilmu sejak kecil.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Artikel berkaitan: “Dia nak mai sekarang ka?” – Tertawa Dengar Pesanan Isteri, Gelagat Tun Dr Mahathir Dan Isteri Cute Sangat!

Mahathir Mohamad At His Graduation In Singapore In 1953

Sempena ulang tahun kelahirannya, berikut merupakan beberapa fakta menarik mengenai Tun Dr Mahathir yang mungkin tidak diketahui ramai.

1. Berhenti sekolah akibat Perang Dunia Kedua

Tun Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Seberang Perak, Kedah dan bersambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Persekolahannya tergendala ketika Jepun memerintah Tanah Melayu.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, beliau kembali menyambung pelajarannya di sekolah yang sama sehinga tamat Senior Cambridge dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke King Edward VII College of Medicine dalam bidang perubatan.

2. Doktor pertama di Langkawi

Ramai mengenalinya sebagai ahli politik, tetapi kerjaya awal beliau ialah seorang doktor kerajaan. Beliau pernah berkhidmat sebagai doktor pertama yang ditempatkan secara tetap di Langkawi sebelum membuka klinik sendiri, Maha Clinic di Alor Setar.

516796357 10161642740663652 6951044703067024006 N

3. Pernah jual pisang goreng

Sebelum bergelar doktor, pekerjaan pertama Tun Mahahtir ialah menjual pisang goreng di Pekan Rabu ketika zaman penjajahan Jepun setelah keluarganya hilang punca pendapatan.

Ketika itu, ramai kakitangan kerajaan terpaksa diberhentikan kerja. Abangnya turut kehilangan pekerjaan, manakala bapanya pula tidak menerima pencen, menyebabkan beliau terpaksa bekerja bagi membantu menyara keluarga.

4. Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat

Tun Mahathir merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara selepas menerajui pentadbiran Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2020.

Beliau juga pernah diiktiraf sebagai ketua kerajaan tertua di dunia ketika kembali memegang jawatan pada usia 92 tahun.

5. Aktif bekerja walaupun melepasi usia 100 tahun

Rahsia di sebalik kekuatan tubuh dan minda Tun Mahathir terletak pada gaya hidupnya yang sederhana, tetapi penuh disiplin sejak kecil. Sikap beliau yang sentiasa mengisi masa dengan perkara bermanfaat menjadi kunci kepada kesihatan fizikal dan mentalnya.

Dapat dilihat sehingga ke hari ini, beliau masih berjalan kaki, membaca, menulis dan aktif mengikuti perkembangan semasa.

683D0Fcb 17Ad 4402 A528 0B1Aab218Df4

Artikel berkaitan: “Tiba-tiba satu kaki hilang kuasa” – Ini Apa Yang Berlaku Kepada Tun Mahathir Sebelum Dikejarkan Ke IJN Pada Januari

6. Makan untuk hidup

Lagi satu rahsia Tun Mahathir kekal sihat dan panjang umur kerana beliau sentiasa kawal pemakanan iaitu dengan hanya makan ala kadar untuk mengalas perut sahaja.

Pernah didedahkan bahawa beliau seorang yang tidak makan ikan kerana didikan ibunya sejak kecil.

7. Tidak gemar menerima hadiah hari jadi

Tun Dr Mahathir pernah menjelaskan bahawa beliau kurang selesa menerima hadiah sempena ulang tahun kelahirannya kerana tidak mahu wujud sebarang salah faham atau kepentingan tertentu di sebalik pemberian tersebut.

Menarik bukan? Semoga Tun Mahathir terus dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan sentiasa dalam keberkatan-Nya.

Sumber: Harian Metro, Gempak, Bernama Radio

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.