Selepas enam tahun, Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam telah membuat keputusan bahawa Sam Ke Ting bebas dari pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Keputusan sebulat suara dari panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah sekaligus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi.
Kronologi kes insiden maut basikal lajak
Untuk korang yang nak tahu kronologi penuh dari insiden maut melibatkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak sehingga keputusan Sam Ke Ting bebas semalam, korang boleh baca di bawah ni:
18 Februari 2017
Lapan remaja lelaki maut apabila seorang pemandu wanita berusia 22 tahun telah melanggar sekumpulan remaja yang sedang berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru pada ketika itu, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengatakan, kelapan-lapan remaja yang berumur dari 13 hingga 17 tahun ini maut di tempat kejadian.
28 Mac 2017
Pemandu wanita, Sam Ke Ting mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal.
Sam Ke Ting telah didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
28 Oktober 2019
Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebaskan Sam Ke Ting dari pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali telah membuat keputusan tersebut tanpa memanggil Sam Ke Ting untuk membela diri selepas pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.
18 Februari 2021
Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah memerintahkan Sam Ke Ting untuk membela diri di atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan ini selepas pihak pendakwaan dikatakan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita tersebut sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret.
10 Oktober 2021
Tak sampai setahun, Mahkamah Majistret telah mengekalkan keputusan untuk membebaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu.
Namun pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan tersebut sehari selepas keputusan dibuat oleh Mahkamah Majistret.
13 April 2022
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Sam Ke Ting untuk dipenjara selama enam tahun dan didenda RM6,000.
Hakim Datuk Abu Bakar turut mengarahkan responden untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, Sam Ke Ting juga akan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun dan proses tersebut akan mula berkuat kuasa apabila wanita ini selesai menjalani hukuman penjara.
18 April 2022
Mahkamah Rayuan membenarkan Sam Ke Ting untuk menangguhkan hukuman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi. Ini merupakan keputusan sebulat suara panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk P Ravinthran bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Tak cukup dengan itu, di media sosial, netizen telah melancarkan petisyen meminta agar wanita ini dibicarakan dengan adil dan berjaya mengumpul sebanyak 900,000 tandatangan dalam masa beberapa hari.
Pun begitu, Sam Ke Ting telah meminta orang ramai untuk tidak berdebat mengenai isu ini dan terus mempercayai sistem perundangan dan kehakiman negara.
11 April 2023
Akhirnya selepas enam tahun, Sam Ke Ting akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan. Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menjelaskan bahawa pertuduhan ke atas wanita ini adalah tidak betul justeru sabitan juga tidak betul.
Hakim jelaskan sebab Sam Ke Ting bebas
Semasa keputusan untuk membebaskan Sam Ke Ting semalam, Datuk Hadhariah Syed Ismail turut memberitahu beberapa sebab tiga panel hakim ini sebulat suara membuat keputusan tersebut:
- Hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi tidak kepada kumpulan basikal lajak tersebut.
- Keputusan Mahkamah Tinggi berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan tersebut mustahil untuk dielakkan.
- Kata Hakim Hadhariah, satu-satunya cara untuk mengelak kemalangan tersebut dari berlaku adalah jika kereta tersebut terbang ketika melalui kumpulan basikal lajak berkenaan.
- Keputusan Mahkamah Majistret tepat kerana tiada cara lain untuk mengelak dari kemalangan tersebut.
Ketika bercakap dengan media di luar mahkamah, Sam Ke Ting telah memohon maaf kepada ahli keluarga kesemua mangsa kemalangan tersebut dan menegaskan kemalangan tersebut tidak disengajakan.
Setiap detik dan pemikiran saya dihantui kejadian malang yang mengorbankan remaja itu dan saya akan bawanya hingga ke kubur.
“Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, tetapi saya ingin sampaikan kepada keluarga mereka, bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu.
“Saya dengan suci hati memohon maaf kepada mereka walaupun saya tahu dan faham bahawa kemaafan itu berat untuk diterima.”
Sumber: Sinar Plus, Awani, Harian Metro, Buzz Kini
Baca: Sam Ke Ting Bebas Tuduhan Jadi Punca Kematian 8 Remaja Tunggang Basikal Lajak