Perodua memperkenalkan kereta konsep EV baharu dikenali sebagai Chapter 2 (C2) sempena Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), sekali gus menandakan fasa kedua perjalanan kenderaan elektrik syarikat itu.
Diinspirasikan oleh generasi Alpha dan Beta, C2 tampil dengan reka bentuk baharu serta pelbagai teknologi pintar yang dibangunkan oleh pereka muda tempatan.

“C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami. Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Kereta konsep segmen B itu dilengkapi ciri bantuan pemanduan AI seperti:
- navigasi masa sebenar
- lokasi stesen pengecasan
- kemas kini trafik
- bantuan parkir
- ciri anti-curi yang dipertingkatkan

C2 turut mengintegrasikan aplikasi P-Circle yang menawarkan akses kepada perkhidmatan seperti e-wallet dan penghantaran alat ganti tulen.
Menurut Perodua, model itu juga bakal menjadi asas kepada pembangunan EV masa depan syarikat selain memperkenalkan identiti reka bentuk baharu yang berbeza daripada konsep EM-O.
Sumber: Perodua
