in

Penduduk Labuan Paling Bahagia Di Malaysia Menurut Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia

Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Buat julung kalinya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia tahun 2021 yang dilaksanakan bagi mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia.


Difahamkan, survei berkenaan mengukur tahap kebahagiaan tersebut dari aspek fizikal, sosial, emosional dan spiritual.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, survei yang dilakukan berkenaan mengandungi komponen serta penanda aras yang komprehensif bagi mengukur tahap kebahagiaan rakyat.

294429877 417787160393107 1855581903293659560 N

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh DOSM, sebanyak 73 indikator diliputi dan dirangkumkan kepada 13 komponen utama MHI iaitu keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial, kesihatan, kemudahan komunikasi, pendidikan, persekitaran kerja, pendapatan, keselamatan awam, penggunaan masa, amalan kerohanian, kebudayaan dan pengalaman emosi.

Dalam kajian berkenaan, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor dengan nilai bermula dari 0.00-2.00 sangat tidak bahagia, 2.01-4.00 tidak bahagia, 4.01-6.00 sederhana bahagia, 6.01-8.00 bahagia dan 8.01-10.00 sangat bahagia.

Menjelaskan tentang nilai berkenaan, semakin tinggi nilai skor diperolehi, semakin baik tahap kebahagiaan mereka dan rujukan utama dalam pelaksanaan kaji selidik ini adalah berdasarkan manual antarabangsa seperti World Happiness Report (WHR), Human Development Index (HDI) dan OECD Guidelines on Measuring Subjective Well-being.

294404682 417787190393104 7865515637414532068 N Horz

Menerusi laporan berkenaan, didapati bahawa skor MHI pada tahun 2021 adalah 6.48 dan berada di tahap bahagia. Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan skor Indeks Kebahagiaan tertinggi dengan 9.29 iaitu pada tahap ‘Sangat Bahagia’.

Sementara itu antara negeri-negeri yang turut mendapat skor tinggi dan berada pada tahap ‘Bahagia’ adalah W.P. Kuala Lumpur (7.77), W.P. Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02) dan juga Perlis (6.98).  Manakala negeri yang mendapat skor terendah adalah  Melaka dengan 5.85 dan Selangor 5.74 iaitu pada tahap ‘Sederhana Bahagia’.

Secara keseluruhan, tiga komponen yang merekodkan nilai tertinggi adalah komponen keluarga, komponen amalan kerohanian dan juga komponen kesihatan.

Secara rumusan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata bahawa rakyat Malaysia berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi pada tahun perlaksanaan Survei MHI 2021 ini.

Pun begitu, beliau tidak menolak sekiranya senario ini akan berbeza untuk kajian yang akan datang dan penemuan survei ini mendapati tidak wujud jurang yang ketara antara strata, etnik, kumpulan umur, jantina, pencapaian pendidikan dan taraf perkahwinan dalam mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia.

Baca : “Patut lah berganda-ganda bahagia” – Taiping dan Kuala Terengganu Antara 10 Bandar Paling Bahagia Di Malaysia Pada 2019

Feature 1 2

Sumber: DOSM
Sumber: DOSM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.