Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan tragis yang mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Kenderaan itu kemudian merempuh sebuah motosikal dan sebuah kereta di hadapan serta melanggar seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta terbabit dan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Artikel berkaitan: Kes Rempuh Penunggang Maut: Pemandu Positif Alkohol, D*dah Direman 4 Hari
Artikel berkaitan: “Kena calit air liur…” – Polis Bakal Guna Kaedah Ini, Buru Pemandu Khayal V*pe ‘Piu Piu’ & Magic M*shroom

Difahamkan mangsa yang maut dikenali Nur Dania Arissa, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan SMK Raja Muda Musa.
Hasil saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis benzodiazepine. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Astro Awani
