Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick mengejutkan ramai apabila mengumumkan keputusan untuk menghentikan perjalanan usahanya dalam mendapatkan zuriat atau Trying to Conceive (TTC) secara rasmi bermula hari ini.
Menerusi satu hantaran penuh emosi yang dimuat naik di laman Threads miliknya, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner meluahkan rasa kecewa apabila fizikal dan bentuk badannya sering menjadi bahan bualan sesetengah pihak.
Artikel berkaitan: “Takut I sedih ke” – Janna Nick Pelik Kenapa Tak Pernah Dapat Undangan “Baby Shower” Daripada Rakan
Artikel berkaitan: “Bella ok guys, dia faham” – Dituduh Bergaduh, Janna Nick & Puteri Sarah Jawab Dakwaan Tak Hadir Majlis BASS
View on Threads
Susulan keputusan tersebut, beliau memaklumkan mahu mengalihkan sepenuh perhatiannya kepada misi menurunkan berat badan selepas ini.
“MULAI HARI NI. SAAT NI. SAYA DAH GIVE UP NAK TTC. I’m officially ending my TTC journey & I akan start my mission untuk kurus,” tulisnya ringkas namun sarat dengan kekecewaan.
Dalam perkongsian sama, pelakon itu turut meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir pengamal media yang didakwa tidak henti-henti mengulas serta mempertikaikan perubahan bentuk badannya sebelum ini.
“THANK YOU kepada reporter mulut hangsuang yang tak habis-habis bercakap pasal bentuk badan saya. Semoga puas hati sekarang,” luahnya lagi berserta emoji senyum sinis.
Hantaran tersebut pantas menarik perhatian warga maya apabila meraih lebih 37,000 tanda suka dan hampir 2,000 komen dalam tempoh 11 jam ia dimuat naik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat dan netizen tampil memberikan kata-kata semangat selain menasihati pelakon itu agar tidak terlalu memikirkan kritikan negatif orang sekeliling serta terus menjaga kesihatan mental dan fizikalnya.
Untuk rekod, Janna dan suaminya yang juga pelakon, Dini Schatzmann sebelum ini sering berkongsi secara terbuka mengenai perjalanan serta ikhtiar mereka untuk menimang cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Sumber: Threads
