Sejak kebelakangan ini, nama ajaran Al-Arqam semakin disebut semula oleh orang ramai susulan Op Global yang dilakukan oleh pihak polis ke atas GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menyeru individu yang terlibat dengan fahaman dan ajaran daripada kesinambungan Al-Arqam di negara ini haruslah segera bertaubat.
Artikel berkaitan: Ramai Pasangan Mula Ikut Trend ‘Childfree’, Mufti Jelaskan Hukumnya...
Artikel berkaitan: Sultan Selangor Titah Semua Rumah Amal Dan Sekolah Islam Bawah GISBH Ditutup Secepatnya
Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan dengan adil bagi melihat sama ada ajaran dan kepercayaan dalam GISBH adalah benar-benar merupakan kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam dan Rufaqa.
“Mereka yang terlibat dengan fahaman dan ajaran yang berkesinambungan daripada Al-Arqam perlu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Masyarakat juga perlu sama-sama membantu sesiapa sahaja yang terperangkap dalam ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan Jawatankuasa fatwa Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang keputusan berhubung ajaran dan kepercayaan dalam GISBH.
Sebagai info, sebanyak empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISBH di sekitar Seberang Perai di sini diserbu dalam satu operasi khas.
Sumber: Kosmo!