Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dibenarkan mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkannya ke Mekah untuk menemani isteri keempat yang kini sedang menunggu hari untuk bersalin.
Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Fatimah Zahari membenarkan permohonan Nasiruddin, 67, pada Isnin, selepas peguamnya memaklumkan isterinya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, dijangka melahirkan cahaya mata sekitar 8 atau 9 Oktober ini.
Menurut peguam, Datuk Rosli Kamaruddin, Nasiruddin dan isterinya sebelum ini berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan haji.
Bagaimanapun, Nasiruddin telah pulang ke Malaysia sementara isterinya masih berada di Mekah.

Permohonan mendapatkan semula pasport itu dibuat selepas hospital di Mekah memaklumkan bahawa Ummu Mubaroqah dijangka bersalin melalui pembedahan dan memerlukan keizinan daripada suaminya.
“Hospital di Mekah memberitahu bahawa isteri anak guam akan melahirkan cahaya mata melalui pembedahan dan pihak hospital memerlukan keizinan daripada pemohon,” katanya.
Permohonan itu tidak dibantah pihak pendakwaan. Mahkamah kemudian menetapkan pasport berkenaan perlu diserahkan semula kepada mahkamah sebelum atau pada 10 November depan.
Artikel berkaitan: Hampir Kesemua Anak CEO GISBH Dikatakan Bekerja Dengan GISBH
Artikel berkaitan: “Kami berani bersumpah” – Staf Restoran GISBH Nafi Letak Air Rendaman Kaki & Janggut Dalam Makanan
Untuk rekod, Nasiruddin kini berdepan 331 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan jumlah lebih RM38.1 juta.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Sumber: Sinar Harian
