Hangat diperkatakan semalam berkenaan sebuah gerai di Pantai Chenang, Pulau Langkawi yang telah mengenakan sebanyak RM20 untuk sepinggan ayam goreng kunyit.
Menurut pengadu, hidangan ayam goreng kunyit itu hanya bersaiz sesuai untuk dimakan seorang bersama nasi putih dan air kosong. Keseluruhan caj bayaran yang dikenakan untuk kesemua hidangan itu menurutnya bernilai RM24.
Artikel berkaitan: “Patutlah orang kata Langkawi mahai” – Pelancong Tak Puas Hati Ayam Goreng Kunyit Dicaj RM20
Artikel berkaitan: “Staf silap masuk bil” – Viral Air Kosong Berharga RM5, Restoran Di Langkawi Mohon Maaf Kepada Pelanggan
“Masa bayar di kaunter tak cakap apa”
Susulan tular isu berkenaan, pemilik restoran di Pantai Chenang tersebut telah tampil memperjelaskan tuduhan yang dikenakan terhadapnya dan mempersoalkan tindakan pelanggan tersebut.
Menurut Zulfan Bustami, 43, ketika mengambil pesanan pelanggan wanita tersebut, pekerjanya sudah menunjukkan buku menu yang mana tertera dengan jelas harga ayam goreng kunyit iaitu RM20.
Dia sendiri lihat harga (makanan) dalam buku menu ketika buat pesanan, masa bayar di kaunter tak cakap apa pun sebelum berlalu pergi, kemudian tularkan di media sosial yang mengundang persepsi negatif, apa motif?
“Saya tiada di restoran ketika kejadian, cuma tahu perkara itu selepas dimaklumkan pekerja mengenai gambar makanan dan resit berjumlah RM24 tular di media sosial,” katanya.
Zulfan juga pada masa yang sama mengesyaki perkara tersebut tidak ditularkan oleh pelanggan sendiri tetapi oleh orang kedua sama ada ahli keluarga atau rakannya yang mahir dalam penggunaan media sosial.
“Semakan mendapati pelanggan terbabit datang ke restoran pada Sabtu bersamaan tarikh resit bayaran dan gambar makanan, manakala gambar kedai yang ditularkan itu pula diambil pada keesokannya (Ahad).
“Pelanggan terbabit adalah orang tempatan dan sepatutnya dia sedia maklum harga makanan di sekitar Pantai Chenang tinggi sedikit berbanding kawasan lain, ini disebabkan kadar sewa kedai juga tinggi di kawasan ini,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, saiz hidangan ayam goreng kunyit RM20 itu juga sesuai untuk dimakan dua orang kerana menggunakan 160 gram isi ayam, sayur, lobak merah, salad, kacang panjang dan bawang Holland.
Dia juga pada masa yang sama sudah berusaha untuk menghubungi pelanggan berkenaan di Facebook untuk berbincang mengenai hal itu dan sedia untuk berjumpa serta memohon maaf atas kejadian yang berlaku, namun pelanggan itu dikatakan mengelak.
Kedai terbabit juga katanya sudah dikunjungi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pemeriksaan dan menyerahkan notis kira-kira 12 tengah hari semalam.
Sumber: Berita Harian