Seorang lelaki baru-baru ini telah menimbulkan kekecohan di daerahnya selepas membina 11 bonggol di atas jalan dekat tepi rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih pada Isnin lepas.
Menurut Sinar Harian, tindakan Nor Muhamad Roslam, 40, kemudian telah ditegur seorang pegawai polis dan akhirnya memohon maaf atas kesilapannya.
Dia dikatakan telah membina sebanyak 11 bonggol dalam jarak tidak sampai 40 meter antara satu sama lain sehingga menyusahkan penduduk untuk keluar masuk ke jalan utama. Aduhai!
“Pagi semalam (Rabu) ada pegawai polis datang jumpa saya. Beliau menasihati saya dengan elok supaya membuang semua bonggol tersebut.
“Jadi semalam juga saya upah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ,” jelasnya.
Bina bonggol sebab tak tahan bunyi bising kenderaan
Bila ditanya sebab dia membina bonggol sebanyak itu di tepi rumah, dia katanya memberi alasan kerana terganggu dengan bunyi kenderaan sebab ada segelintir pemandu yang memandu laju di kawasan tersebut tanpa mengira masa.
“Bilik tidur saya berada di bahagian tepi yang berdekatan dengan jalan itu menyebabkan bunyi bising kereta dan motosikal mengganggu tidur.
“Saya tertekan sangat dengan masalah ini tambahan pula saya mempunyai masalah kesihatan (gangguan mental) tetapi belum lagi mendapatkan rawatan.
“Sebenarnya saya mahu membina bonggol yang landai sahaja tetapi tar itu cepat mengeras menyebabkan ia menjadi bonggol tinggi sehingga tidak boleh dilalui semua kereta kecuali pacuan empat roda,” katanya lagi.

Menurut Nor Muhamad Roslan juga, dia telah membelanjakan RM1,080 wang daripada pengeluaran RM5,000 i-Sinar KWSP untuk membina bonggol-bonggol tersebut.
Harapnya tiadalah isu ini lagi ye. Tak memasal gunakan duit i-sinar untuk perkara macam tu.