Tular ketika ini berhubung satu kes melibatkan seorang lelaki di Baling, Kedah maut dalam perjalanan untuk menuntut telefon miliknya.
Kes berkenaan dikongsikan di media sosial apabila peranti milik mangsa difahamkan dirampas dua anggota polis yang meminta RM200 sekiranya mahu mendapatkannya semula.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, lelaki tersebut bersama ibunya terjatuh sebelum menyatakan bahawa dia tidak larat lalu tidak sedarkan diri.
Dalam laporan polis yang ditularkan, lelaki itu disahkan meninggal oleh pihak perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Panjang. Ibu mangsa yang berusia 74 tahun kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kupang.
Artikel berkaitan: Dipaksa Melakukan S*ks, Anggota Polis Ditahan Cuba Cab*l & Ugut Pelajar Wanita
Artikel berkaitan: Tular Video 4 Lelaki Dipercayai Polis Serbu & Pecahkan CCTV Rumah, PDRM Jalankan Siasatan
Nasib sesetengah rakyat di daerah Baling masih malang. Petik dari Edisi Siasat. pic.twitter.com/GnrYbJxglw
— FreeMalaysian (@FreeMsian) September 20, 2025
2 anggota polis ditahan
Susulan kes itu, dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap mangsa yang telah meninggal dunia.
“Pengadu melaporkan semasa dia berada di rumah kira-kira pukul 7 malam Jumaat lalu, anak lelakinya berusia 32 tahun pulang dan mengadu dia ditahan polis yang menaiki motosikal.
“Dia mendakwa polis telah merampas telefon bimbit milik anaknya serta meminta wang RM200 untuk menebus semula telefon bimbit tersebut,” kata Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali.
Polis memaklumkan, hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati punca kematian adalah serangan jantung mendadak tanpa kecederaan berunsurkan jenayah.
Dua anggota polis berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Permohonan reman ke atas mereka dibenarkan selama dua hari.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian urin adalah negatif,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci terhadap kedua-dua anggota polis akan dilakukan bagi memberikan keadilan.
Sumber: Kosmo!