in

Lelaki Berkostum Spiderman Cedera Jatuh 20 Meter Ketika Mendaki Bukit Dinding

Bukit Dinding

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lelaki yang mengenakan kostum Spiderman cedera selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Dinding, Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa terjatuh di kawasan cerun berkecuraman hampir 75 darjah, lapor Sinar Harian.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras dan Sentul, Mejar Pertahanan Awam Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 5.02 petang.

“Sejurus menerima laporan, dua pasukan penyelamat termasuk pasukan perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) telah digerakkan ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kenderaan pertama pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 5.44 petang sebelum operasi menyelamat dimulakan kira-kira 10 minit kemudian.

622551751 1404407151727386 4409189033823838521 N
Kredit gambar: sinar harian

Artikel berkaitan: Jatuh Ketika Redah Jeram, Lelaki Maut Semasa Aktiviti Water Rafting

Artikel berkaitan: Pekerja Ubah Suai Rumah Terkejut Tengkorak Manusia Jatuh Dari Siling

Pasukan penyelamat terpaksa mendaki sejauh kira-kira satu kilometer melalui laluan trek sebelum bergerak sekitar 70 meter di luar laluan bagi sampai ke lokasi mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter di kawasan cerun yang sangat curam,” jelasnya.

Tambah beliau, ketika ditemui mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian tulang belakang dan kaki.

Operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur dengan bantuan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) dan sebuah Medical Rescue Vehicle (MRV).

Mangsa berjaya dibawa turun ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan EMS untuk rawatan awal dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

“Mangsa dimasukkan ke Zon Resusitasi 2 dan operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 petang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.