in

“Ingat dah terhapus dalam industri…” – Amir Ahnaf Sebak, Tak Sangka Masih Diterima Penonton!

Syaz Ft

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pelakon popular, Amir Ahnaf, 26, mendedahkan dirinya hampir hilang kepercayaan terhadap diri sendiri susulan kontroversi yang melanda dirinya beberapa bulan lalu. Namun, dia tidak menyangka masih ada pihak yang terus mempercayai bakatnya dan memberi ruang untuk meneruskan kerjaya seni.

Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin mengaku tidak dapat menahan sebak apabila melihat maklum balas positif penonton terhadap filem terbaharunya, Baga: Esok Untuk Siapa, yang disifatkan sebagai naskhah paling dekat dengan jiwanya.


Artikel berkaitan: “Suka bersendiri, benci orang” – Amir Ahnaf Dedah Saka Dalam Badan Punca Mudah Benci Orang

Artikel berkaitan: Nama Terkait Dengan Amir Ahnaf, Angel Dolla Tampil Beri Penjelasan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Amir Ahnaf (@amir.ahnaff)

“Selepas apa yang berlaku dua, tiga bulan lalu membuatkan saya tertanya-tanya sama ada saya masih mempunyai tempat dalam arena hiburan tanah air. Susulan hal yang terjadi, saya hilang kepercayaan terhadap diri sendiri.

Tapi selepas melihat, mendengar dan merasai apa yang kalian rasa, saya bersyukur kerana kalian lebih menghargai rasa manusia berbanding perkara lain.

Sejujurnya, saya tidak percaya kalian semua berada di sini. Saya ingat saya sudah terhapus dalam industri ini. Saya ingat saya sudah tiada lagi,” luahnya.

Dalam filem arahan Ariff Zulkarnain ini, Amir membawakan watak seorang penagih dadah. Baginya, naskhah tersebut bukan sekadar lakonan, sebaliknya menjadi medium penting yang membantunya ‘mencari diri’ selepas berdepan pelbagai cabaran peribadi.

“Disebabkan Baga: Esok Untuk Siapa, saya jumpa diri saya semula. Apabila melihat diri sendiri dalam skrin, saya rasa seperti rindukan diri saya yang dahulu.

Kalau ditanya, antara naskhah kegemaran peribadi yang pernah saya jayakan ialah filem ini serta Kahar: Kapla High Council,” ujarnya.

Filem yang menjalani penggambaran kira-kira dua tahun lalu itu dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 5 November ini. Kata Amir, kejayaan filem ini turut disumbangkan oleh kesungguhan barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su dan Amirah Razak, di samping komitmen seluruh tenaga produksi.

Mengulas lanjut mengenai peluang kedua yang diberikan, Amir menganggap setiap ruang dan kesempatan itu sebagai rezeki serta kurniaan Yang Maha Esa yang perlu dihargai sepenuhnya.

“Peluang itu salah satu bentuk penghargaan. Saya percaya peluang datang bukan sebab kita, tetapi sebab Dia. Alhamdulillah,” tambahnya.

Untuk rekod, nama Amir sebelum ini pernah menjadi bualan hangat selepas dikaitkan dengan seorang wanita dari Singapura, selain beberapa isu lain di media sosial.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.