Tular di media sosial Twitter sejak semalam mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli di pusat latihan tentera udara di Kuantan, Pahang.
Susulan daripada luahan itu, polis mengesahkan terdapat empat lagi pelatih Pangkalan Udara Kuantan mendakwa dipukul dalam kejadian buli pada 12 April lalu, lapor Buletin TV3.
Difahamkan, keempat-empat pelatih menjalani kursus latihan sama dengan pengadu, mendakwa dipukul oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lebih senior ketika dipanggil untuk membantu siasatan kes buli seorang pelatih.
Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai penyiasat termasuk mendapatkan laporan perubatan, menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
“Setakat ini enam orang suspek sudah dikenal pasti dan sudah dipanggil bagi tujuan siasatan kerana disyaki terbabit dalam kes ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, tindakan siasatan bagi merakamkan percakapan saksi bebas sedang turut dilaksanakan.
Selain itu, pihak polis sedang mendapatkan laporan penuh perubatan terhadap mangsa yang mendakwa dibuli bagi melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.
Dalam luahan di Twitter yang tular, wanita terbabit turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adiknya ketika menjalani latihan.
Bapa kepada mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kes buli yang berlaku ke atas anaknya.
Baca: Siap Ugut ‘Kebal’ Undang-Undang, Kakak Dakwa Adik Jadi Mangsa Buli Dalam Kursus Tentera Udara