Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah mengumumkan bahawa semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengkelasan B40, M40 dan T20 akan dihapuskan secara berperingkat bermula 2024.
Tambahnya, beberapa insitiatif atau dasar yang sedang dilaksanakan adalah berbeza jika dibandingkan dengan pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini, termasuk perkara yang melibatkan bantuan dan subsidi.
“Kerajaan juga perlu memastikan bahawa semua infrastruktur yang sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum mengambil keputusan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan,” jelas Rafizi.
Beliau menjelaskan perkara demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut Rafizi, kerajaan cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, bagaimanapun ia perlu dijalankan secara berperingkat.
“Di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), kita sudah mula bincang mengenai simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.”
“Perkara berkenaan mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan,” ujarnya.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan, peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah akan dilaksanakan bermula Januari 2024.
Apa pendapat korang?
Sumber : Kosmo!
Baca : “Ada perkara di luar kawalan kerajaan” – Rafizi Jawab Isu Kejatuhan Ringgit