Jenama penjagaan diri lelaki terkenal dari Indonesia, Kahf, berdepan kecaman hebat daripada pengguna media sosial berikutan tindakan memuat naik hantaran yang dianggap tidak sensitif dan memperlekehkan negara-negara jiran di rantau ASEAN.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas akaun rasmi Threads milik jenama itu, @/kahfeveryday, memuat naik satu imej meme yang memaparkan bendera Indonesia diletakkan di atas garisan bertulis “HATI – HATI BEDA LEVEL”.
Artikel berkaitan: “Bagus, sangat bagus. Bertaraf apartmen” – Bekas Pegawai Kanan Polis Indonesia Didakwa ‘Hidup Mewah’ Dalam Penjara
Artikel berkaitan: Harimau Malaya Gagal Ke Final Selepas ‘Drama’ Masa Tambahan Aksi Indonesia-Bangladesh
Sebaliknya, bendera negara-negara ASEAN lain seperti Malaysia, Thailand, Singapura, dan Vietnam diletakkan di bahagian bawah garisan tersebut. Hantaran itu turut disertakan dengan kapsyen, “Tutor cara masup Eropa dong warga (Cara masuk Eropah)”.

Hantaran tersebut dengan pantas tular dan menerima ribuan komen kritikan daripada netizen pelbagai negara ASEAN, khususnya dari Malaysia. Kebanyakan pengguna menyatakan kekecewaan terhadap tindakan pentadbir media sosial jenama berkenaan yang memuat naik kandungan provokatif.
Ekoran tindakan itu, sebahagian pengguna turut menyuarakan cadangan untuk memboikot barangan keluaran jenama berkenaan di pasaran tempatan.
Menyedari implikasi serius terhadap reputasi jenama, pihak pengurusan Kahf telah mengambil langkah segera dengan memadamkan hantaran berkenaan sebelum mengeluarkannya kenyataan permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak Kahf mengakui kesilapan tersebut dan menegaskan bahawa kandungan berkenaan sama sekali tidak mencerminkan nilai teras syarikat.
View on Threads
“Di Kahf, rasa hormat adalah teras kepada nilai kami, dan baru-baru ini kami telah gagal memenuhi nilai tersebut. Hantaran yang diterbitkan di akaun kami adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Ia tidak mencerminkan nilai-nilai kami dan rasa hormat yang kami pertahankan sebagai sebuah jenama,” menurut kenyataan rasmi berkenaan.
Pihak Kahf turut menambah bahawa hubungan antara komuniti Malaysia dan Indonesia sentiasa berasaskan semangat persaudaraan serta saling menghormati.
Pihak pengurusan berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya dan komited untuk menambah baik tadbir urus media sosial mereka pada masa hadapan.
Sumber: Threads
