Agak mengejutkan… Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa terdapat satu kes taun atau kolera telah dikesan di daerah Petaling, Selangor.
Menurut Astro AWANI, beliau telah menasihatkan orang ramai untuk hanya minum air yang telah dirawat atau dididihkan dan mengelakkan makanan mentah serta sentiasa menjaga kebersihan diri.
Jabatan Kesihatan Selangor telah mengesan satu kes kolera di daerah Petaling, Selangor. Orang awam dinasihati hanya minum air dirawat/dididihkan, jaga kebersihan kendiri, jangan makan makanan mentah/tidak dimasak sempurna. Maklumat lanjut disusuli.
— Khairy Jamaluddin ??? (@Khairykj) November 14, 2021
Apa itu Taun?
Mungkin ada yang tidak pernah dengar atau mengetahui mengenainya, taun atau kolera ialah salah satu penyakit bawaan air dan makanan yang berpunca daripada jangkitan bakteria.
Mereka yang dijangkiti taun ini akan mengalami cirit-birit dan ada juga yang mengalami gejala teruk hingga membawa kerana dehidrasi yang teruk.
Menurut Portal MyHealth, penyakit taun ini mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air yang bersih dan kemudahan tandas yang sempurna. Wabak taun juga wujud secara bermusim di kawasan endemik di Asia dan Afrika.
Punca penyakit taun
- Bekalan air perbandaran
- Ais yang diperbuat daripada air perbandaran
- Makanan dan minuman yang dijual penjual jalanan
- Sayur-sayuran ditanam dengan air yang mengandungi sisa buangan manusia
- Ikan mentah atau kurang masak dan makanan laut yang ditangkap di perairan tercemar dengan kumbahan
Walau bagaimanapun, anda tidak akan dijangkiti penyakit taun hanya daripada perhubungan biasa dengan individu yang dijangkiti penyakit ini.
Langkah mencegah penyakit taun
Sungguhpun terdapat vaksin bagi penyakit taun ini, pakar perubatan tidak mengesyorkannya kerana ia tak dapat melindungi hampir separuh daripada orang yang menerima dan hanya dapat bertahan buat beberapa bulan.
Pun begitu, korang boleh melindungi diri sendiri dan keluarga denga menggunakan air yang telah dimasak, air yang telah dibersihkan secara kimia atau air botol.
Pastikan air bersih ini digunakan untuk tujuan berikut:
- Dijadikan minuman
- Penyediaan makanan dan minuman
- Membuat ais
- Memberus gigi
- Membasuh muka dan tangan
- Membasuh pinggan mangkuk dan peralatan yang digunakan untuk makan dan sediakan makanan.
- Membasuh buah-buahan dan sayuran.
Jika untuk membersihkan diri sendiri, masak air selama 1 minit (atau 3 minit pada suhu yang lebih tinggi) atau tapis serta gunakan bahan kimia disinfektan komersial.
Korang juga boleh elakkan pengambilan makanan mentah seperti:
- Buah-buahan dan sayuran yang tak dibuang kulit
- Produk susu dan susu yang tak dipasteurisasi
- Daging atau kerang yang kurang masak atau mentah
- Ikan yang terperangkap dalam terumbu tropika yang mungkin tercemar.
Apa-apapun, jika mengalami cirit-birit, pastikan minum banyak air bersih dan larutan rehidrasi oral (ORS). Jika cirit-birit berterusan selama lebih 48 jam dan individu tidak mampu minum, segera ke hospital untuk dapatkan rawatan.
Sumber: PortalMyHealth, Ceria Sihat
Jaga kebersihan diri ya. Harap wabak taun tidak merebak. Cukuplah kita berhadapan dengan COVID 19 sekarang ni.