Selama ini, golongan penggiat seni sering menjadi perhatian masyarakat menerusi karya dan bakat yang dipersembahkan. Namun, di sebalik dunia hiburan, mereka juga mempunyai peranan penting dalam menyebarkan nilai positif, termasuk amalan integriti.
Menyedari perkara itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif pada 29 November ini.
Menurut Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, program berkenaan bertujuan mendekatkan mesej antirasuah kepada warga industri kreatif menerusi pendekatan yang lebih santai dan mesra.

Mahu anak seni lebih peka tentang isu integriti
Jelasnya, kerjasama itu tercetus selepas SPRM menyuarakan hasrat untuk memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan membanteras rasuah, khususnya dalam kalangan penggiat seni.
Zed berkata, golongan berkenaan perlu memahami bahawa isu integriti bukan sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka, sebaliknya turut berkait rapat dengan kerjaya dan urusan profesional.
Malah, beliau turut mengingatkan ahli SENIMAN supaya menjadikan integriti sebagai prinsip utama, termasuk ketika berurusan melibatkan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
Katanya, pengaruh yang dimiliki golongan selebriti dan penggiat seni juga boleh digunakan untuk menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.
Artikel berkaitan: “Aku kenal siapa kau” – Zed Zaidi Bagi Amaran Keras Kepada 2 Artis Tular Berc*molot Di Photobooth
Artikel berkaitan: Zed Zaidi Kongsi Video Pelaku Pukul Kamal Adli Dicekup
Taklimat SPRM, bengkel TikTok percuma antara aktiviti menarik
Dalam pada itu, program sehari berkenaan bukan sekadar menyediakan taklimat mengenai antirasuah, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.
Antara pengisian yang disediakan termasuk taklimat khas daripada SPRM, bengkel TikTok secara percuma serta pertandingan video pendek Public Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik.
Pengunjung juga berpeluang melihat pameran daripada persatuan dan rakan industri selain menyaksikan persembahan artis.
Zed berharap lebih ramai penggiat seni mengambil peluang menyertai program berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab mereka, sekali gus melindungi diri daripada eksploitasi, penyalahgunaan kuasa serta amalan tidak berintegriti.

Bakal berlangsung di Kompleks Studio Merdeka FINAS
Untuk makluman, Program HARA 2026: Industri Kreatif akan berlangsung pada 29 November ini, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.
Program ini menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar.
Menurut Zed, usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen semua pihak dan sudah tiba masanya industri kreatif bukan sahaja bergerak maju dari segi pencapaian seni, malah turut membina budaya kerja yang lebih telus dan profesional.
Sumber: SENIMAN
