Polis sedang giat mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang di Taiping sejak 16 Jun lalu dan memohon orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu usaha pencarian Nor Afiza Zainuddin.
Menurut laporan, Polis Daerah Taiping menerima laporan berhubung kehilangan wanita yang berusia 41 tahun itu pada 18 Jun lalu.
Berdasarkan maklumat, Nor Afiza kali terakhir didapati keluar dari rumah beralamat No. 19, Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun lalu dengan memandu kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.
“Hasil siasatan awal mendapati pada hari itu, wanita berkenaan telah keluar rumah dengan alasan menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar,” tulis kenyataan polis.
Artikel berkaitan: Tersenarai Sebagai Orang Hilang Sejak 2019, Wanita Akhirnya Ditemui Selamat Di Langkawi Rupanya…
Artikel berkaitan: “Ditinggalkan tepi jalan” – Hos TikTok ‘Live’ Hilang, Tidak Ingat Apa Berlaku Ketika Ditemui

Hanya kereta ditemui
Dalam mengesan jejak Nor Afiza, polis setakat ini menemukan Perodua Axia yang dipandu wanita itu di tempat rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar, Padang Rengas.
Hasil pemeriksaan polis mendapati kereta itu berada dalam keadaan baik di mana kunci dan beberapa barangan miliknya seperti fail sijil, beg telekung dan kasut berada dalam kenderaan itu.
Polis turut memaklumkan, Nor Afiza memiliki dua anak, namun kedua-duanya tinggal bersama bekas suaminya.
Wanita itu digambarkan berketinggian 155 sentimeter dengan berat 57 kilogram, selain warna kulit sawo matang dan memakai cermin mata.
Sebelum ini, media melaporkan Nor Afiza gagal dikesan sejak 16 Jun lalu walaupun pelbagai usaha pencarian telah dijalankan oleh ahli keluarganya.
Namun, usaha tersebut masih belum membuahkan hasil dan dua laporan polis berhubung kehilangannya telah dibuat oleh keluarga bagi membantu proses pencarian.
Sumber: Sinar Harian
