in

Dituduh Salah Guna Nama, ASEAN Records Tampil Dengan Bukti Surat Dari Sekretariat ASEAN Sebenarnya Palsu!

Syaz Ft 2026 05 19T165510.412

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kontroversi melibatkan ASEAN Records Sdn Bhd terus menjadi perhatian selepas syarikat itu tampil mempertahankan status dan operasi mereka susulan dakwaan salah guna nama ‘ASEAN’ yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.

Dalam satu kenyataan rasmi, ASEAN Records menegaskan bahawa mereka merupakan sebuah syarikat berdaftar secara sah di Malaysia dan mempunyai kelulusan rasmi daripada Sekretariat ASEAN serta Kerajaan Malaysia untuk menggunakan nama ‘ASEAN’ dalam operasi syarikat sebagai platform pengiktirafan rekod serantau bebas.


Artikel berkaitan: “Kami tiada kaitan” –  Dr MAG Mohon Henti Sebar Fitnah, Perjelas Dakwaan Rumah Ada Kaitan Isu Seleweng Dana Zakat

Artikel berkaitan: Malaysia Kini Tempat Ke-13 Negara Paling Aman Di Dunia, Kedua Di ASEAN

Menurut syarikat itu, kelulusan penggunaan nama ASEAN diperoleh menerusi surat rujukan CCAD/LSAD/UNA/2023/Vol.1/014 bertarikh 1 Disember 2023 yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, Tran Duc Binh.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menerima Kelulusan Menteri di bawah Seksyen 27(3) Akta Syarikat 2016 bagi penggunaan perkataan yang diwartakan ‘ASEAN’ dalam nama syarikat menerusi rujukan P/S/2023/A/004396 bertarikh 14 November 2023.

 

Pengarah dan Ketua Adjudikator Bersama ASEAN Records, Eldrick Koh berkata, syarikat itu tidak pernah menerima sebarang notis pembatalan atau penarikan semula kelulusan yang diberikan.

Beliau turut menegaskan bahawa segala dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas, selain menyatakan bahawa ASEAN Records mempunyai dokumen lengkap bagi menyokong kedudukan undang-undang serta operasi syarikat mereka.

Dakwaan PPSM

Isu itu mula hangat diperkatakan selepas kumpulan yang menggunakan nama Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM) mendakwa telah menerima aduan daripada syarikat dan orang awam yang mengatakan mereka didekati sebuah syarikat swasta yang menawarkan pengiktirafan tersebut dengan caj yang tinggi.

Bagaimanapun ASEAN Records berkata, pihaknya telah membuat semakan rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas kenyataan tersebut dikeluarkan. Menurut syarikat itu, RoS menerusi surat rasmi bertarikh 13 Mei 2026 mengesahkan bahawa PPSM tidak berdaftar sebagai pertubuhan sah di Malaysia.

Whatsapp Image 2026 05 18 At 4.24.43 Pm 1

 

ASEAN Records turut mendakwa halaman Facebook menggunakan nama ‘PPSM’ hanya diwujudkan sekitar Mei 2026 dan mengklasifikasikan dirinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), walaupun tidak pernah didaftarkan secara rasmi. Berdasarkan perkara itu, syarikat berkenaan mempersoalkan kedudukan serta kesahihan dakwaan yang dibuat oleh kumpulan terbabit.

Surat Sekretariat ASEAN palsu? 

Dalam masa sama, ASEAN Records turut memaklumkan bahawa Sekretariat ASEAN telah mengesahkan secara bertulis bahawa satu surat bertarikh 27 Mac 2026 yang digunakan dalam dakwaan terhadap syarikat tersebut adalah dokumen palsu.

Untitled Design 1

Menurut ASEAN Records, syarikat itu beroperasi sebagai badan pengiktirafan rekod serantau bebas dan bukannya organisasi, agensi atau wakil rasmi Sekretariat ASEAN. Mereka juga menegaskan bahawa pengiktirafan rekod yang diberikan tidak pernah didakwa sebagai pengiktirafan rasmi yang dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN sendiri.

Katanya lagi, semua rekod dan pencapaian yang telah diberikan pengiktirafan oleh syarikat itu masih kekal sah.

Susulan isu tersebut, dua laporan polis telah dibuat masing-masing di Kepong dan Cheras pada Ahad lalu berhubung dakwaan tidak berasas ini. ASEAN Records memaklumkan bahawa kes kini sedang dalam siasatan pihak polis.

Sumber: Facebook ASEAN Records, Utusan Malaysia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.