Kecoh sejak semalam berita mengenai tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk seorang Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Penahanan tiga individu itu juga turut membawa kepada penyitaan 18 buah kenderaan mewah pelbagai jenama seperti yang dipaparkan dalam media sosial.
Beberapa keping gambar yang memperlihatkan kenderaan mewah disita telah menimbulkan spekulasi segilintir pihak yang pernah melihat reka bentuk kediaman yang diserbu pihak berkuasa.
Ia berikutan ada dakwaan yang mengatakan kediaman itu pernah dilihat di media sosial sekali gus menyebabkan akaun pemilik rumah diserbu netizen.

Artikel berkaitan: “Tak takut dosa ke?” – Timbalan Pengerusi NGO Ditahan Seleweng Dana Zakat RM230 Juta
MAG hanyalah arkitek
Berikutan isu itu, seorang arkitek yang juga pemilik syarikat MAG Architect, Dr MAG Muhsin menafikan dakwaan yang timbul.
“Pihak tertentu telah menimbulkan fitnah terhadap MAG akibat salah sangka yang berlaku.
“Untuk penjelasan, MAG hanyalah arkitek, kontraktor dan juga interior designer yang dilantik secara profesional oleh setiap client bagi merealisasikan rumah idaman mereka.”
Jelasnya dalam satu kenyataan rasmi, kediaman tular itu adalah pemilik yang berbeza walaupun reka bentuknya hampir sama dengan kediaman yang dimiliki Dr MAG.
“Memang benar terdapat reka bentuk yang hampir sama dengan kediaman MAG sendiri, namun rumah tersebut adalah milik owner yang berbeza, berada di lokasi yang berbeza, dan dibangunkan untuk client yang berbeza.
“Persamaan dari sudut reka bentuk tidak sama sekali bermaksud pemilikan rumah tersebut adalah milik MAG,” tulis kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebabkan tuduhan yang tidak tepat kerana ia boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi pihak yang terlibat.
Sumber: Threads
