Di sebalik kejayaan besar skuad kebangsaan Kanada melakar kemenangan di pentas Piala Dunia, kem tuan rumah terpaksa berdepan detik duka apabila salah seorang pemain mereka, Ismaël Koné, mengalami kecederaan yang amat mengerikan.
Insiden hitam tersebut berlaku pada minit ke-50 dalam aksi Kumpulan B menentang Qatar di Stadium BC Place, malam tadi. Kejadian ngeri itu bukan sahaja mengejutkan ribuan penyokong di stadium, malah gambar-gambar yang menunjukkan keadaan kaki Koné yang patah kini mula tular dan mencetuskan rasa ngilu dalam kalangan netizen di media sosial.
View on Threads
Artikel berkaitan: Gara-Gara Aksi R*sis ‘Slanted-Eyes’ Di Stadium World Cup, Lelaki Warga Mexico Hilang Kerja!
Artikel berkaitan: Nak Tengok Bola Tapi Tersalah Fokus! Ini 7 Pemain Kacak Bawah 30 Tahun Yang Beraksi Di FIFA World Cup 2026!
Detik cemas itu bermula apabila kaki Koné dilaporkan tersangkut selepas diasak dari arah belakang melalui satu terjahan kasar oleh pemain Qatar, Assim Madibo. Impak daripada rembatan tersebut begitu kuat sehingga pemain-pemain daripada kedua-dua buah pasukan yang berada berhampiran lokasi kejadian bertindak agresif melambaikan tangan meminta pasukan perubatan segera masuk ke dalam padang.
Pengadil perlawanan pada mulanya hanya melayangkan kad kuning kepada Madibo. Bagaimanapun, selepas dipanggil oleh bilik pembantu pengadil video (VAR) untuk melakukan semakan semula, kekasaran melampau itu akhirnya dilayangkan kad merah, sekali gus menyaksikan Madibo diusir keluar padang.
Ketua jurulatih Kanada, Jesse Marsch, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila mendedahkan situasi panik yang berlaku betul-betul di hadapan kawasan teknikalnya.
“Ia berlaku betul-betul di hadapan bangku simpanan. Kami semua boleh mendengarnya,” kata Marsch yang kelihatan sebak.
Saya tahu serta-merta ia adalah kecederaan yang sama (seperti Tajon Buchanan)… Semua orang di situ boleh mendengar bunyi tulang patah (snap),” tambah beliau ketika sidang media.
Kone, yang beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong di halaman tempat lahirnya sendiri di Vancouver, terpaksa diusung keluar menggunakan pengusung (stretcher) untuk dikejarkan ke hospital tempatan.
Meskipun sedang menahan sakit, pemain berusia 24 tahun itu sempat menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan melambaikan tangan sebagai tanda penghargaan dan selamat tinggal kepada para penyokong yang memberikan tepukan gemuruh (standing ovation) buat dirinya.
Kecederaan patah kaki ini disahkan menutup terus peluang Koné untuk beraksi dalam baki kempen Piala Dunia kali ini dan beliau dijangka terpaksa berehat panjang bagi proses pemulihan selepas pembedahan.
Sumber: Threads, AZ Central
