Akhirnya! Sebanyak 948 kawasan atau 73.7% daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual dekat 7 daerah di Lembah Klang telah pulih sepenuh pada jam 6.30 pagi tadi, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, baki 344 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.”
Semua lokasi terjejas di Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor catat peratusan pemulihan sebanyak 99.25%, diikuti Petaling (91.78%), Gombak (72.99%), Kuala Langat (50%), Kuala Lumpur (47.37 %) serta Klang dan Shah Alam (38.42%).
“Sebanyak 71 kawasan dalam kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi masih belum pulih disebabkan penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air.
“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air, korang boleh saja dapatkan terus daripada saluran komunikasi Air Selangor di laman Facebook, Twitter, Instagram dan laman rasmi sesawang www.airselangor.com untuk dapatkan maklumat sahih.