Gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan bakal berlaku di 1,335 kawasan melibatkan lapan wilayah Selangor dan Kuala Lumpur. Gangguan ini susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), empat LRA tersebut ialah LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3). Pihak Air Selangor turut memaklumkan pihaknya akan memberi perkembangan berhubung insiden dari semasa ke semasa.
“Lapan wilayah terjejas ialah Petaling membabitkan 370 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, Kuala Selangor (280), Gombak (279), Klang dan Shah Alam (189), Kuala Lumpur (186), Hulu Selangor (28) dan Kuala Langat (tiga),” katanya dalam kenyataan melalui Facebook Air Selangor.
Air Selangor juga menyeru orang ramai untuk merujuk semua saluran komunikasi rasmi mereka seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk perkembangan semasa. Pertanyaan juga boleh dibuat menerusi Pusat Perhubungan Air Selangor melalui talian 15300 dan aplikasi Air Selangor.
Untuk rekod, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata pihak mereka mengesan bau seperti diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang, malam tadi. Untuk itu, LUAS berktaa mereka sedang mengenal pasti punca, sekali gus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Kredit: Berita Harian
Baca: Petani Raih Untung Lebih RM100k Sebulan Dengan Jual Air Mani Kerbau