in

Bapa Bengang Bayi Terjaga Gara-gara Bunyi Bising Ekzos, Lelaki Cedera Dib*lasah

Bunyi Ekzos Bising Bayi Terjaga Lelaki Kena Belasah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lelaki tempatan bakal didakwa di Mahkamah Majistret Mersing esok selepas disyaki memukul seorang lelaki dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, Mersing, Johor.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi Jumaat lalu itu turut dirakam dan tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 45 saat.


Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek mendakwa mangsa telah memotong kenderaan dinaikinya sebelum membunyikan ekzos kenderaanya dengan kuat.

Situasi itu dikatakan menyebabkan bayi yang sedang dipangku isterinya terjaga dan menangis. Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan.

Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri serta perut.

Artikel berkaitan: Pemilik Motosikal Boleh Dipenjara Sampai 6 Bulan Jika Bunyi Ekzos Bising

Artikel berkaitan: “Takkan tak boleh kawal diri kau?” – Abang JPJ Ulas Isu Berang Ekzos Bising Sampai Kena Langgar

Menurut Abdul Razak, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

“Suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing esok.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi kerana tindakan sedemikian akhirnya boleh memudaratkan diri sendiri.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.