Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan agar bulan Oktober setiap tahun dijadikan sebagai Bulan Membaca dengan pelaksanaan kempen membaca yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara Bilangan 4 Tahun 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Menurut beliau, cadangan tersebut selari dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 yang menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara membaca menjelang 2030.
“PNM perlu terus mempergiatkan Program Galakan Membaca bagi membudayakan amalan membaca serta meningkatkan literasi dalam kalangan masyarakat.”
“Selain itu PNM juga disaran meneroka pendekatan yang lebih kreatif seperti yang dilaksanakan di luar negara.
Antaranya termasuk book cafe, reading club serta kempen membaca bersama pencipta kandungan dan influencer bagi menarik minat golongan muda.
95% Responden Adalah Pembaca Aktif

Menariknya, berdasarkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) yang dilaksanakan oleh PNM, seramai 6,649 responden telah menyertai Kajian Awal IMK 2026 sehingga 7 September 2026.
Dapatan sementara menunjukkan 95 peratus merupakan pembaca aktif, manakala 47.8 peratus membaca setiap hari.
64 Manuskrip Melayu Berjaya Didokumentasikan

Dalam pada itu, Aaron berkata usaha membawa pulang warisan negara dari luar negara turut membuahkan hasil.
Misi di Belanda dan Rusia berjaya mendokumentasikan 64 entri manuskrip Melayu dengan nilai perolehan salinan digital sebanyak RM465,000.
“Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen PNM untuk mengesan, mendokumentasi, menyelidik dan memperoleh semula khazanah manuskrip Melayu yang berada di dalam mahupun luar negara.”
PNM Perkasa Transformasi Digital
Selain usaha menggalakkan budaya membaca, PNM turut melaksanakan beberapa usaha transformasi digital.
Antara lima kisah kejayaan transformasi digital PNM yang dikongsikan ialah penggunaan Sistem Perpustakaan Bersepadu KOHA di 506 Perpustakaan Desa PNM, migrasi sistem perpustakaan kepada Polaris, pembangunan AI Cateloger, pendigitalan khazanah negara serta penambahbaikan sistem depositori PNM bagi serahan bahan born digital.
Bagi projek pembangunan pula, terdapat tiga projek utama PNM yang sedang dilaksanakan bagi tempoh 2025 hingga 2026.
Antaranya ialah Projek Pembangunan Ruang Pembelajaran Interaktif dan Imersif bernilai RM4.7 juta yang dijangka siap pada Disember 2026.
Ruang tersebut bakal dilengkapi teknologi seperti VR, AR, permainan digital, panel interaktif dan ruang STEAM bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik, interaktif dan menyeronokkan untuk generasi muda.
Selain itu, terdapat cadangan pembinaan Perpustakaan Digital Bagan Datuk, Perak dengan keluasan 1,902 meter persegi dan siling kos RM21.6 juta.
Satu lagi projek ialah Pusat Warisan Intelek Negara (MyWIN) di Bukit Jalil dengan peruntukan RM62.915 juta.
Pusat tersebut akan berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pemeliharaan khazanah intelek negara.
Setelah siap pada November 2029, kira-kira 2.5 juta naskhah koleksi negara yang kini disimpan di Extra Space Sungai Besi akan dipindahkan ke MyWIN.
KPN akan terus menyokong usaha dan inisiatif PNM dalam memperkasa budaya membaca, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Usaha berterusan ini diharap dapat menjadikan perpustakaan sebagai wadah ilmu yang inklusif dan dinamik dalam membina masyarakat yang berpengetahuan serta bersatu padu.
