Selepas 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal hari ini, persoalan mengenai bila kumpulan seterusnya akan menyusul mula menjadi perhatian.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), fasa kedua penghantaran pulang akan disegerakan sebaik sahaja proses pengenalpastian serta dokumentasi tahanan bersama kerajaan Myanmar selesai.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, tempoh untuk melaksanakan fasa seterusnya bergantung kepada kelancaran proses berkenaan.
Artikel berkaitan : 1,476 Pelarian Myanmar Akan Dihantar Pulang 29 September Ini, Guna 2 Kapal Perang
Artikel berkaitan : Persetujuan Hantar Pulang 5,000 Warga Myanmar, Fasa Pertama 1,500 Orang Mula Dihantar
Proses ambil sedikit masa
Katanya, terdapat individu yang mungkin tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sekali gus memerlukan pengesahan bersama pihak kerajaan Myanmar terlebih dahulu.
“Kini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bersama dengan Kedutaan Myanmar untuk mengesahkan individu-individu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Makhzan turut menjelaskan bahawa proses tersebut bukan sekadar mengenal pasti individu terbabit, malah turut melibatkan penyediaan dokumen yang diperlukan sebelum mereka boleh meninggalkan Malaysia dan diterima semula oleh kerajaan Myanmar.
“Sekiranya proses ini dapat dilaksanakan dengan segera, kita akan dapat melaksanakan penghantaran pulang itu dengan segera.”
“Tetapi kalau proses ini mengambil sedikit masa, penghantaran pulang akan tertangguh sedikit,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persetujuan antara Malaysia dan Myanmar untuk menghantar pulang keseluruhan 5,000 warga Myanmar secara berperingkat masih kekal.
“Tetapi tempoh untuk pelaksanaan, kita akan cuba segera secepat mungkin berdasarkan proses dokumentasi dan mengenal pasti individu-individu tersebut,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Kementerian Luar akan terus menyelaras perkara berkenaan dengan kerajaan Myanmar bagi memastikan pelaksanaan fasa berikutnya dapat dilakukan.
Tarikh serta jumlah individu yang akan dihantar bagi fasa seterusnya akan ditentukan selepas mengambil kira proses pengesahan, kesiapsiagaan operasi dan penyelarasan bersama kerajaan Myanmar.
KDN melalui JIM juga akan meneruskan persiapan yang diperlukan sementara menunggu semua perkara berkaitan dimuktamadkan. Untuk fasa pertama, seramai 1,476 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0 hari ini.
Jumlah itu merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 5,000 individu yang dipersetujui untuk dihantar pulang secara berperingkat. Kesemua individu bagi fasa pertama telah dikenal pasti oleh kerajaan Myanmar sebelum senarai nama mereka dikemukakan kepada Malaysia menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
Sumber: Astro Awani
