in

1,476 Pelarian Myanmar Akan Dihantar Pulang 29 September Ini, Guna 2 Kapal Perang

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 20

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela melibatkan 5,000 warga Myanmar yang layak untuk kembali ke negara asal.

KDN dalam kenyataan berkata untuk fasa pertama, seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang pada 29 September 2026.


Menurut KDN, kesemua mereka telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar menerusi Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos 2026.

“Tarikh penghantaran pulang itu dipersetujui selepas mesyuarat penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan.

“Ini berbanding cadangan asal Kerajaan Myanmar untuk melaksanakan penghantaran pulang pada 28 Ogos 2026.”

Guna 2 Kapal Perang dan Sebuah Kapal Hospital

Dsc 3923

Proses penghantaran pulang kali ini akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Bagi tahun 2026 pula, seramai 4,008 individu, terutamanya etnik Rohingya, akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat seperti yang dipersetujui kedua-dua kerajaan.

10,388 Warga Myanmar Berada di Depot Tahanan Imigresen

Adsy3386.Jpg

KDN turut menjelaskan bahawa sehingga 15 Ogos 2026, terdapat 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen, namun jumlah tersebut tidak bermaksud kesemuanya adalah pelarian.

Jabatan Imigresen Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia kini menjalankan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Proses pendaftaran DPP bagi golongan berkenaan dijangka selesai pada suku keempat tahun 2026.”

Apa Fungsi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian?

Menurut KDN, kerajaan menggunakan dua pendekatan secara serentak.

Pertama, rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat Myanmar dapat dilakukan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.

Kedua, pendaftaran serta pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui DPP.

Data yang diperoleh akan digunakan untuk pemantauan, penguatkuasaan serta perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.

Program DPP juga akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.

“Pendaftaran ini akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan mendapatkan data biometrik serta maklumat peribadi yang lengkap dan tepat.

“Mereka yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran akan diberikan Kad DPP, yang membolehkan mereka tinggal secara sementara tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan kerajaan.”

Lebih 95% Pelarian di Malaysia Berasal dari Myanmar

KDN berkata lebih 95 peratus pelarian di Malaysia berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.

Disebabkan itu, penyelesaian isu berkenaan tidak boleh dilakukan secara unilateral dan kerajaan akan terus menggiatkan rundingan secara langsung dengan Kerajaan Myanmar.

Menurut KDN, proses penghantaran pulang perlu dilaksanakan secara teratur, bermaruah serta dipersetujui kedua-dua negara.

“Kerajaan turut menegaskan bahawa Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Pelaksanaan DPP juga tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau penyertaan Malaysia kepada instrumen antarabangsa berkenaan.

“Sebaliknya, KDN menyifatkan DPP sebagai pendekatan Kerajaan MADANI dalam menangani isu pelarian dan pemohon suaka secara teratur, berperikemanusiaan serta selaras dengan undang-undang, kepentingan nasional dan kedaulatan negara.”

KDN berkata pendekatan itu perlu dilaksanakan secara terbuka, telus dan mengikut lunas undang-undang, dengan setiap tindakan perlu sah di sisi undang-undang serta boleh dipertanggungjawabkan.

Kerajaan MADANI turut menegaskan isu pelarian perlu ditangani secara menyeluruh, berhemah dan berperikemanusiaan, pada masa sama tegas, telus serta berlandaskan undang-undang demi keselamatan dan kedaulatan negara serta kepentingan rakyat Malaysia.

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.