Ramai yang sedih dan pilu berikutan berita pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Berita duka tersebut bukan sahaja dirasai oleh rakyat Malaysia, malah turut menyentuh hati tokoh-tokoh terkemuka antarabangsa, termasuklah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi (Oscar), Tan Sri Michelle Yeoh.
Artikel berkaitan: Michelle Yeoh Terima Anugerah Pingat Kebebasan Dari Presiden AS
Artikel berkaitan: “Perkara paling menyedihkan dalam hidup saya” – Michelle Yeoh Reda Tak Boleh Hamil
View this post on Instagram
Menerusi hantaran terbaharu yang dimuat naik di laman media sosial rasminya, Michelle Yeoh meluahkan rasa sedih yang amat mendalam atas kehilangan figura yang amat dihormati dan disayangi ramai itu.
Menurut Michelle, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah merupakan seorang wanita yang amat luar biasa dan penuh dengan sifat keanggunan, kebijaksanaan, serta kasih sayang yang mendalam.
“Sangat sedih dengan pemergian Tun Dr Siti Hasmah. Kami menyampaikan ucapan takziah yang paling mendalam dan tulus buat Tun Dr Mahathir serta keluarga.
Tun Dr Siti Hasmah benar-benar seorang wanita yang luar biasa, seorang wanita yang penuh dengan keanggunan, kebijaksanaan, dan kasih sayang yang memberi inspirasi kepada seluruh negara,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Michelle turut menyentuh mengenai keutuhan cinta dan perkongsian hidup di antara Tun Dr. Mahathir dan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah yang sentiasa menjadi penanda aras serta inspirasi buat masyarakat.
“Kasih sayang dan perkongsian hidup yang dibina bersama adalah satu inspirasi buat kita semua. Kami turut berduka bersama anda dalam waktu yang amat sukar ini.
Kami mendoakan agar anda dan keluarga diberi ketenangan serta kekuatan. Semoga roh Allahyarhamah bersemadi dalam kedamaian,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut nyata meraih perhatian warganet yang rata-ratanya turut mendoakan agar urusan keluarga Allahyarhamah dipermudahkan dan mendoakan kesejahteraan Tun Dr. Mahathir serta seluruh ahli keluarga.
Salam takziah diucapkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sekeluarga. Semoga roh Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Instagram
