Menyayat hati… Murid tahun empat sebuah sekolah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam dilaporkan telah maut digilis treler lepas motosikal yang ditunggang ibunya terbabas di Jalan Kampung Baru Alma.
Menurut Harian Metro, kanak-kanak perempuan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Alma itu telah dijemput pulang oleh ibunya selepas menghadiri satu majlis sambutan Aidilfitri bersama rakan dan guru di sekolah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, motosikal yang dinaiki dua beranak berkenaan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
Ketika itu, penunggang motosikal (ibu kepada kanak-kanak perempuan) sempat menyelamatkan diri namun pembonceng (anaknya) digilis sebuah lori (treler) yang datang dari arah sama.
“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk dibedah siasat manakala ibunya pula dikejarkan ke hospital yang sama untuk rawatan.
Kes ini menurut pihak polis masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar terakhir bersama guru & rakan semasa jamuan raya
Dalam pada itu, page Facebook Penang Kini ada berkongsi gambar terakhir murid Tahun 4 yang didakwa terlibat dalam kemalangan tersebut bersama rakan dan guru dalam sambutan majlis Aidilfitri di sekolah.
Murid yang bernama Nur Airis Iman itu menurut posting berkenaan adalah murid yang periang dan sering menjadi penyeri di dalam kelas.
Posting berkenaan telah meraih pelbagai komen netizen yang simpati dengan nasib keluarga mangsa dan mendoakan semoga mangsa ditempatkan bersama para solehin.
Al fatihah… semoga keluarga adik ini tabah hadapi dugaan ini.
Baca: Menyayat Hat… 5 Mangsa Rentung Dalam Satu Kereta Melibatkan Kemalangan Dengan 2 Treler