Isu tahanan rumah menjadi topik hangat susulan kes politik semasa yang sedang menjadi perhatian.
Tahanan rumah mungkin kedengaran seperti seseorang masih boleh duduk selesa di kediaman sendiri, namun hakikatnya kebebasan individu masih dikenakan had tertentu.
Tahanan rumah adalah bentuk pelaksanaan hukuman apabila seseorang banduan menjalani baki hukuman di kediaman yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat dan kawalan yang ditentukan pihak berkuasa.
Dalam sejarah politik dunia, terdapat beberapa pemimpin dan tokoh politik terkenal yang pernah dikenakan tahanan rumah, sama ada ketika berada di bawah pemerintahan tentera, selepas digulingkan atau ketika berdepan tindakan undang-undang.
Setiap pemimpin yang dikenakan tahanan rumah ini menghadapi pertuduhan yang berbeza. Ada yang ditahan selepas terlibat dalam gerakan politik, ada yang digulingkan melalui rampasan kuasa, manakala ada yang dikenakan tahanan rumah ketika berdepan pertuduhan jenayah.
Berikut merupakan latar belakang serta perjalanan kes yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap mereka.
Artikel berkaitan: “Tak semestinya kediaman beliau” – Peguam Jelaskan Situasi Sebenar Tahanan Rumah
1. Aung San Suu Kyi

Bekas pemimpin Myanmar itu beberapa kali diletakkan di bawah tahanan rumah oleh junta tentera, termasuk tempoh panjang antara 1989 hingga 2010.
Selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, Suu Kyi sekali lagi ditahan dan kemudian dijatuhi hukuman penjara 33 tahun atas beberapa pertuduhan termasuk rasuah, penipuan pilihan raya dan kesalahan berkaitan rahsia negara.
Hukuman itu kemudiannya dikurangkan beberapa kali dan pada April 2026, pihak berkuasa Myanmar memutuskan baki hukumannya dijalani sebagai tahanan rumah di sebuah kediaman yang ditetapkan.
Artikel berkaitan: Tentera Myanmar Umum 1 Tahun Darurat Lepas Tangkap Ketua Kerajaan Aung San Suu Kyi, Ini Faktanya…
2. Benazir Bhutto

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto juga pernah melalui beberapa tempoh tahanan di bawah pemerintahan tentera.
Beliau dikenakan tahanan rumah dan sekatan politik selepas bapanya, Zulfikar Ali Bhutto, digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 1977.
Benazir mengalami tahanan rumah secara berulang antara 1979 hingga 1984. Beliau pernah diletakkan di bawah tahanan rumah pada beberapa tempoh, termasuk dari Mac hingga Jun 1978, selain beberapa bentuk tahanan lain tanpa perbicaraan.
3. Ahmad Ben Bella

Satu lagi nama yang mungkin kurang dikenali ialah Ahmed Ben Bella, presiden pertama Algeria selepas negara itu memperoleh kemerdekaan daripada Perancis.
Pemerintahannya berakhir apabila beliau digulingkan dalam rampasan kuasa pada Jun 1965 yang diketuai Menteri Pertahanan ketika itu, Houari Boumediene.
Selepas digulingkan, beliau pada mulanya dipenjarakan sebelum kemudiannya diletakkan di bawah tahanan rumah.
Beliau menghabiskan kira-kira 15 tahun dalam tahanan rumah, dengan pergerakannya dipantau oleh tentera.
4. Jair Bolsonaro

Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, kini menjalani tahanan rumah selepas dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan tiga bulan oleh Mahkamah Agung Brazil.
Beliau disabitkan atas kesalahan berkaitan cubaan menggulingkan keputusan pilihan raya 2022 dan mengekalkan dirinya berkuasa selepas tewas kepada Luiz Inácio Lula da Silva.
Ketika menjalani hukuman penjara, Bolsonaro diberikan tahanan rumah atas faktor kesihatan selepas beberapa kali mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan.
Ketika berada di rumah, beliau masih tertakluk kepada sekatan mahkamah termasuk pemantauan dan larangan tertentu berkaitan lawatan serta aktiviti politik.
5. Jorge Videla

Jorge Rafael Videla pula merupakan bekas pemerintah tentera Argentina yang mengetuai junta selepas rampasan kuasa pada 1976.
Selepas kembali berdepan proses undang-undang berkaitan jenayah yang dilakukan ketika pemerintahan tentera, Videla dikenakan tahanan rumah pada 1998 kerana faktor usianya.
Antara pertuduhan yang dihadapinya termasuk penculikan, penyeksaan, pembunuhan serta pengambilan bayi dan pengubahan identiti kanak-kanak yang dilahirkan ketika ibu mereka ditahan.
Videla bagaimanapun hanya berada di bawah tahanan rumah selama kira-kira 10 tahun sebelum dipindahkan ke penjara tentera pada 2008. Beliau meninggal dunia pada 2013 ketika masih menjalani hukuman.
Walaupun tahanan rumah bermaksud seseorang itu tidak ditempatkan di penjara biasa, ia tetap boleh melibatkan sekatan pergerakan dan kawalan ketat terhadap kehidupan harian, bergantung kepada undang-undang serta syarat yang ditetapkan.
