Tragedi nahas pesawat persendirian yang berlaku di Persiaran Elmina, Shah Alam semalam jelasnya telah mengejutkan ramai orang. Lebih-lebih lagi bila orang dapat tahu pesawat tersebut dinaiki oleh EXCO Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Pun begitu, ia bukanlah nahas pertama yang melibatkan orang kenamaan. Di Malaysia sahaja telah berlaku beberapa nahas yang mengorbankan tokoh-tokoh penting dalam negara. Dekat bawah ni korang boleh baca lima nahas lain yang pernah berlaku melibatkan kematian tokoh kenamaan di Malaysia:
1. Tragedi Tanjung Kupang, 1977
Selain disenaraikan sebagai nahas nombor satu paling membawa maut pernah berlaku di Malaysia, Ia juga merupakan insiden pertama rampasan pesawat yang pernah berlaku di negara ini. Tragedi yang berlaku pada 4 Disember 1977 ini bermula apabila penerbangan MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 7.21 malam dan dijangka akan transit Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) sebelum meneruskan perjalanan terakhir ke Singapura.
Namun, pada jam 7.54 malam, Kapten G.K. Ganjoor telah memberitahu menara kawalan udara Subang bahawa terdapat masalah di atas kapal yang ketika itu berada pada ketinggian 4,000 kaki.
Kapten Ganjoor: Kami mempunyai kecemasan di atas kapal.
Menara Kawalan: Sila berikan butiran mengenai keadaan kecemasan.
Kapten Ganjoor: Kami mempunyai perampas di atas kapal.
Selepas mendapat amaran tersebut, pihak menara kawalan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Pesawat yang sepatutnya membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Subang ini telah diarahkan pengganas untuk terus mendarat di Singapura.
Sekitar jam 8.15 malam, semua komunikasi dengan MH653 telah terputus dan pesawat tersebut tidak dapat dikesan melalui radar lagi. 20 minit kemudian, penduduk Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Johor telah terdengar bunyi letupan yang amat kuat dan melihat bangkai kapal terbang tersebut sedang terbakar di dalam paya.
Akibat dari ini, dilaporkan seramai 100 mayat telah ditemui berkecai. Kesemua mangsa di dalam pesawat tersebut meninggal dunia ketika mereka hanya 15 minit sahaja lagi hampir sampai ke Singapura.
Individu penting yang turut terkorban termasuklah:
- Menteri Pertanian, Datuk Ali Ahmad
- Duta Cuba, Mario Garcia Inchausteghi dan isteri
- Usahawan Jepun, Tomio Gotto
- Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad
- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican
- Dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime
2. Tragedi ‘Doube Six’, 1976
Pada 6 Jun 1979, sebuah pesawat GAF Nomad yang berlepas dari Labuan ke Kota Kinabalu dilaporkan telah terhempas ketika ia sedang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pesawat tersebut membawa enam pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah yang sangat disayangi iaitu:
- Ketua Menteri Sabah, Tun Mohammed Fuad Stephens
- Menteri Kewangan, Datuk Salleh Sulong
- Setiausaha Menteri Kewangan, Datuk Wahid Peter Andu
- Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Peter Mojuntin
- Menteri Kerja Raya dan Komunikasi, Datuk Chong Thain Vun
- Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion
Nahas ini telah meragut nyawa kesemua penumpang di dalam pesawat tersebut. Ia telah membawa sekumpulan menteri dan pegawai kerajaan berjawatan tinggi yang mahu pulang ke Kota Kinabalu dari Labuan selepas menghadiri satu majlis. Pesawat ini dioperasikan oleh Sabah Air iaitu syarikat penerbangan yang berkhidmat untuk negeri Sabah.
Pesawat ini telah membuat satu setengah pusingan sebelum terhempas ke dalam air cetek sedalam tiga kaki di Kampung Sembulan. Masa pesawat terhempas adalah 3:41:27 PM seperti yang direkodkan oleh jam yang terhenti ketika hempasan berlaku. Penduduk kampung di sana melaporkan mereka mendengar bunyi letupan pada jam 3.30 PM.
Menurut kenyataan rasmi, kesilapan dari juruterbang dan muatan terlebih adalah antara punca yang menyebabkan pesawat tersebut terhempas.
3. Helikopter Terhempas di Kuala Lipis, 1997
Tokoh korporat, Tan Sri Yahaya yang terkenal dengan sifat rendah diri dan disayangi ramai orang ini merupakan Pengerusi Kumpulan DRB Hicom. Beliau bersama-sama Anwar Ibrahim yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri telah menubuhkan bas Intrakota bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.
Namun begitu, pada 2 Mac 1997 beliau meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan helikopter peribadi yang dinaiki bersama isterinya Rohana Othman yang meletup dan terhempas di Kampung Jeransang, Sungai Tamar, Kuala Lipis, Pahang. Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, menziarahi ibunya, Mandak Omar di Marang.
Helikopter jenis Agusta A109E yang berada pada ketinggian 2,900m terhempas di kebun berhampiran dengan kawasan perumahan di Kampung Atong, Jerangsang kira-kira 40 km dari Kuala Lipis. Juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas dari yang mengendalikan holikopter tersebut turut terbunuh.
Untuk pengetahuan korang, helikopter milik syarikat Gadek Aviation Helicopter Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat DRB-HICOM ini telah mengalami masalah enjin 30 minit selepas berlepas dari Helipad Segambut.
Jenazah Yahaya dan isteri, Rohana dibawa pulang ke Terengganu pada 4 Mac 1997 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Marang. Dua anak mereka yang belajar di UK segera pulang ke rumah di Kelana Jaya.
4. Helikopter Terhempas di Semenyih, 2015
Pada 4 April 2015, sekitar pukul 4.55 petang, sebuah helikopter awam terhempas di sebuah kawasan pertanian berdekatan Kampung Pasir Baru, Semenyih menyebabkan keenam-enam orang yang menaikinya terkorban. Antara yang terkorban ialah ahli politik terkemuka negara iaitu Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Helikopter terbabit merupakan model Eurocopter AS365 Dauphin 2 dengan pengenal 9M-IGB yang dimiliki oleh IGB Corporation dan dikendalikan oleh Cempaka Aviation, sebuah syarikat pengendalian helikopter persendirian yang dimiliki oleh mendiang Kapten Clifford William Fournier, iaitu warganegara Amerika Syarikat yang turut terkorban dalam nahas ini.
Ketika nahas berlaku, helikopter tersebut dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang, membawa Jamaluddin dan beberapa tokoh lain dari majlis kenduri perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Pekan, Pahang ke sebuah lagi majlis kenduri perkahwinan bagi anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias di Kuala Lumpur.
Sebelum terhempas, beberapa saksi melaporkan helikopter tersebut meletup di udara sebelum terhempas di atas sebuah tanah kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru. Tapak hempasannya terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan Semenyih.
Lima mayat selain Jamaluddin dan Fournier adalah Ketua Setiausaha Sulit Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias, pengawal peribadi Jamaluddin, Razkan Seran dari Sabah, dan seorang ahli perniagaan dari Kedah iaitu Datuk Tan Huat Seang dan Aidana Baizieva.
Laporan akhir nahas helikopter terhempas di Semenyih yang meragut enam nyawa, termasuk bekas menteri, Tan Sri Jamaluddin Jarjis tahun lalu menunjukkan kemalangan udara itu berpunca daripada kecuaian juruterbang. Ini kerana, juruterbang tidak memeriksa keadaan helikopter selepas ia membuat pendaratan kasar di sebuah padang bola di Muadzam Shah, Pahang, tahun lalu
5. Tragedi Helikopter di Batang Lupar, 2016
Pada 5 Mei 2016, sebuah helikopter dengan nombor pendaftaran RPC 6828 telah membuat penerbangan dari Bentong dan dijadualkan untuk tiba di Kuching pada jam 5 petang.
Namun begitu, 20 minit selepas membuat penerbangan, helikopter tersebut telah terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam selepas juruterbang memberitahu lokasi terakhir di kawasan Triso, Sebuyau.
Helikopter ini telah membawa beberapa orang kenamaan termasuklah:
- Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.
- Suaminya, Asmuni Abdullah.
- Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad.
- Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai.
- Pengawal Peribadi, Ahmad Sobri Harun.
- Juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.
Kemudian pada jam 11.30 malam hari yang sama, Mesyuarat penyelarasan SAR antara Agensi telah diadakan di IPK Kuching. Helikopter tersebut barangkali telah terhempas.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan di kawasan Persisiran Sebuyau dan Triso di sekitar Lingga melibatkan lebih 100 anggota Polis Marin, Bomba, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Mayat Noriah Kasnon kemudiannya ditemui pada 6 Mei jam 12 tengahari dan disolatkan di Pangkalan Udara Kuching sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang menggunakan pesawat tentera untuk dikebumikan di Tanjung Karang.
Pada 7 Mei, jam 8.30 pagi pasukan SAT menemui mayat seorang lelaki yang kemudiannya disahkan sebagai Mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai. Mayat ketiga pula ditemui pada jam 10.30 pagi berada 1km dari mayat pertama dan dikenalpasti sebagai Allahyarham Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Allahyarhamah Datuk Noriah.
Mayat keempat ditemui pada jam 3.20 petang dan mayat kelima ditemui pada jam 6 petang iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad dan Asmuni Abdullah yang juga suami kepada Datuk Noriah Kasnon.
Mayat terakhir iaitu juruterbang, Kapten Rudolf Rex telah ditemui pada 9 Mei jam 10.45 pagi di sekitar kawasan Triso, Sebuyau.
Punca nahas helikopter ini adalah disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran.
Al-fatihah…
Baca: Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina Ulangi Tragedi 1977 Di Tempat Sama, Ini Apa Yang Berlaku…