Sultan Sharafuddin Idris Shah sebentar tadi telah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 sahaja diberikan kepada negeri Selangor dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelum ini.
Perkara ini disampaikan sendiri oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani. Katanya, Sultan Sharafuddin bertitah yang peruntukan tersebut tak adil dan tak seimbang jika dibandingkan dengan jumlah populasi penduduk Selangor.
“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.
“Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.
Tegas baginda, Selangor merupakan penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK), oleh itu keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.”
Tambah Munir lagi, Sultan Sharafuddin berpendapat nyawa rakyat perlu diberi keutamaan berbanding agenda lain, lapor MalaysiaKini.
Selain itu, baginda turut mahu pusat pemberian vaksin ditambah terutamanya di kawasan luar bandar serta berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses vaksinasi.
Tak cukup dengan itu, baginda juga turut kecewa dan tak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di Selangor dan berharap rakyat tak terpengaruh dengan pemahaman terpesong seperti itu.
Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.”